Translate

Tuesday, April 30, 2024

Penganggur terima upah bulanan RM2,000 simpan dadah diberkas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tembelang seorang pemuda kelihatan ‘berduit’ walaupun mengganggur terbongkar apabila ditahan polis kerana disyaki mengambil upah sebagai penjaga stor bekalan dadah di Kampung Paya Datu, Manir di sini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada 10.30 pagi itu, suspek berusia 20-an berkenaan menjadikan rumah neneknya sebagai pusat penyimpanan bekalan dadah berkenaan sejak bulan Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu ditahan, lelaki yang dipelihara neneknya sejak berumur empat tahun didapati dalam keadaan khayal disyaki positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, serbuan menjumpai kira-kira 38,000 biji pil kuda dan 33.12 gram heroin bernilai keseluruhan lebih RM384,000.

“Bekalan pil kuda dan heroin tersebut dijumpai di dalam sebuah beg di dalam rumah tersebut.

“Serbuan turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15Z bernilai RM12,000 dan wang tunai RM240 yang disyaki hasil kegiatan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Azli berkata, suspek yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku menerima upah RM2,000 sebulan oleh pengedar untuk menyimpan bekalan dadah terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal percaya bekalan dadah berkenaan baru diperolehi dari negara jiran sebelum disimpan suspek.

“Bekalan dadah terbabit akan diambil oleh pengedar-pengedar dadah dari rumah suspek sebelum diedarkan untuk pasaran bandar raya ini dan daerah sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment