Translate

Tuesday, December 26, 2017

Beruang maut dirempuh motosikal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Seekor beruang matahari jantan dewasa yang dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) maut dirempuh sebuah motosikal kap­cai selepas haiwan itu tiba-tiba memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kuala Dungun di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang di Kilometer 347.5 LPT2 itu, penunggang motosikal Yamaha Y15ZR, Ahmad Hafizuddin Zulkifli, 29, bernasib baik apabila mangsa hanya ce­dera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Hafizuddin sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, seekor beruang yang dipercayai berasal dari Hutan Simpan Rasau berhampiran lebuh raya tersebut tiba-tiba menyeberang LPT2.

“Pada masa sama, mangsa sedang menunggang motosikal di laluan kiri lebuh raya tersebut.

“Pemuda itu gagal mengelak lalu merempuh beruang terbabit sebelum motosikalnya tercampak ke tepi jalan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ahmad Zailani memberitahu, Ahmad Hafizuddin yang cedera ringan pada dagu kemudiannya telah dihantar oleh pengguna lebuh raya ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, anggota peronda lebuh raya yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mendapati beruang matahari terbabit telah mati akibat ce­dera parah pada leher dan beberapa anggota badan.

“Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Perhilitan (Jabatan Perlindu­ngan Haiwan Liar dan Taman Negara) sebelum bangkainya diambil untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Setakat ini, sebanyak 12 haiwan liar mati dilanggar di LPT2 melibatkan lapan ekor tapir, dua ekor beruang, seekor kucing hutan dan seekor harimau.

LPT2 sepanjang 184 kilometer dari Jabor, Kemaman ke Kuala Lumpur dibuka secara rasmi pada 31 Januari 2015.

No comments:

Post a Comment