KUALA TERENGGANU – Polis akan mengambil tindakan menyaman terhadap remaja yang menunggang motosikal bermain air banjir sekiranya melakukan kesalahan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, segelintir remaja dan kanak-kanak menjadikan banjir seperti pesta dengan mengharungi air sambil menunggang motosikal beramai-ramai.
Menurut beliau, perbuatan itu agak berbahaya kerana mereka berisiko untuk dihanyutkan arus deras dari parit dan tali air bersebelahan.
“Menerusi pemerhatian kami ramai dalam kalangan remaja ini tidak mengendahkan undang-undang lalu lintas, misalnya tidak memakai topi keledar, berlumba selain tidak memiliki lesen memandu.
“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan saman jika berlaku perlanggaran undang-undang,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Idris berkata, tindakan undang-undang tersebut tetap diambil walaupun kesalahan itu dilakukan di jalan-jalan kampung.
Menurut beliau, ia bertujuan bagi menjamin keselamatan penduduk selain memastikan perkara tidak diingini berlaku terhadap remaja terbabit.
“Saya juga kesal sikap ibu bapa yang leka dan tidak acuh sehingga membiarkan anak di bawah umur menggunakan motosikal untuk bermain banjir,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus mendapati, ramai remaja lelaki dan perempuan meredah banjir sambil bergurau-senda dengan rakan masing-masing tanpa menghiraukan keselamatan diri.
Kebanyakan sistem perparitan telah dipenuhi air banjir sehingga menyebabkan ia sama paras dengan jalan raya.
No comments:
Post a Comment