Translate

Saturday, December 16, 2017

Nasib ibu alami penyakit buah pinggang dibela

BAGAI jatuh ditimpa tangga.

Itulah yang dirasai seorang suri rumah, Faidah A. Rashid, 59, apabila disahkan menghidap penyakit buah pinggang oleh pakar perubatan pada dua tahun lalu.

Ia kerana tidak lama sebelum itu, suaminya yang merupakan seorang nelayan telah terkena serangan strok yang menyebabkan mereka sekeluarga hilang mata pencarian.

Semenjak itu, kehidupan mereka sekeluarga termasuk tiga anak berusia dalam lingkungan 11 hingga 23 tahun yang masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi terpaksa ditanggung anak-anak lebih tua.

Faidah berkata, salah seorang anaknya itu sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di sebuah institusi pengajian tinggi di Mesir.

Menurut beliau, beliau bersyukur anak-anaknya lebih tua terutama empat yang sudah berkahwin banyak membantu biarpun mereka bukannya dalam kalangan golongan berkemampuan dan selain mempunyai komitmen tersendiri.

"Tambah menguji kami, penyakit buah pinggang saya semakin melarat sehingga memerlukan rawatan hemodialisis mulai bulan Mac 2016.

"Saya dimaklumkan doktor perlu menjalani rawatan hemodialisis tersebut sebanyak tiga kali seminggu," katanya ketika ditemui di sebuah pusat dialisis di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Faidah berkata, kos bagi menjalani rawatan hemodialisis dalam tempoh seminggu dianggar hampir RM400 dan ia perlu dibiayai sendiri.

Menurut beliau, mereka sekeluarga sudah semestinya tidak mampu untuk membiayai kos rawatan hemodialisis berdasarkan kemampuan kewangan mereka.

Biarpun begitu, dia memberitahu mereka sekeluarga tidak pernah dan selalu berdoa kepada Allah agar jalan bagi penyelesaian bagi kesulitan ditemui,

"Kami cuba memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Alhamdulillah, tidak berapa lama selepas borang dihantar, kami menerima khabar gembira permohonan kami diluluskan.

Faidah berkata, Maidam bersetuju untuk menanggung kos untuk saya menjalani rawatan hemodialisis di sebuah pusat dialisis swasta selepas mendapati saya salah seorang daripada asnaf yang layak menerima bantuan.

Dia memberitahu, Maidam juga bermurah hati membiayai kos pengangkutan untuk ke pusat dialisis swasta terbabit dari rumahnya di Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu.

"Biasanya saya akan menaiki teksi untuk ke pusat dialisis berkenaan dari rumah yang terletak kira-kira lima kilometer.

Menurut beliau, dia biasanya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat jam bagi setiap sessi rawatan hemodialisis tersebut.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Maidam atas bantuan ini yang amat bererti buat saya," katanya.

No comments:

Post a Comment