Translate

Wednesday, December 6, 2017

Lelaki obes mati sesak nafas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hajat seorang lelaki obes seberat 286 kilogram (kg) untuk kembali kurus dan menikmati kehidupan normal tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia semalam.

Mohamad Faisal Md. Ali, 29, yang pernah mendapat perkhid­matan jurulatih kecergasan peribadi percuma pada Oktober tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya, Kamsah Mat Noor, 57, akibat sesak nafas pada pukul 5 pagi.

Kamsah berkata, Mohamad Faisal baru dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

“Sebelum ini, dia yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik telah menjalani rawatan akibat obesiti di hospital itu selama dua bulan sejak September lalu.

“Sejak anak saya itu pulang ke rumah dari hospital, dia kurang selera makan dan hanya minum susu enam kali sehari,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot di sini semalam.

Kamsah berkata, dia menye­dari Mohamad Faisal mengalami sesak nafas pada pukul 5 pagi sebelum meminta salah seorang abang Allahyarham memanggil pegawai perubatan Klinik Kesihatan Batu Rakit dekat sini untuk bantuan.
Menurut beliau, pembantu perubatan klinik itu yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan Mohamad Faisal sudah meninggal dunia.

“Saya kemudian meminta bantuan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Nerus untuk menghantar jenazah anak saya ke unit forensik HSNZ untuk tujuan pengurusan jenazah.

“Malam tadi (semalam) saya tidur di sebelahnya dan sempat mendengar Mohamad Faisal mengomel sendirian sepanjang malam sebelum tertidur pada kira-kira 4 pagi,” katanya.

Kamsah berkata, dia agak terkilan tidak dapat menunaikan permintaan Mohamad Faisal untuk makan nasi kerabu air tangannya ketika anaknya dirawat di hospital kerana tidak dibenarkan oleh pakar perubatan.

Dalam pada itu, jenazah Mohamad Faizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot di sini selepas solat Zuhur.

Jenazah lelaki obes itu diturunkan ke liang lahad dengan penakal menggunakan bantuan jentolak.

Kosmo! 15 Oktober 2016 melaporkan keazaman Mohamad Faisal yang ketika itu seberat 221 kilogram untuk kurus dan menjalani kehidupan se­perti orang lain mendapat perhatian jurulatih kecergasan peribadi.
Bagaimanapun, usaha All­ah­yarham untuk kurus tidak kesam­paian dan sejak itu dia sering keluar masuk HSNZ untuk menjalani rawatan.

Setiap kali Mohamad Faisal dikejarkan ke hospital, dia akan dihantar dengan menaiki trak APM ekoran masalah pengangkutan akibat fizikalnya yang terlampau besar.

Sebelum ini, Allahyarham pernah memberitahu berat badannya naik mendadak sehingga kakinya lemah dan tidak berdaya untuk berjalan sejak dia berhenti kerja sebagai pereka grafik tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment