KUALA LUMPUR - Penyerahan slip keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 menyaksikan kelainan tahun ini apabila guru-guru hanya menyerahkan di dalam kelas dan bukannya pada majlis khas yang sering diadakan sebelum ini.
Tinjauan Kosmo! di Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa di sini semalam mendapati seramai 347 calon UPSR yang ditemani ibu bapa masing-masing mengambil slip keputusan UPSR di dalam 12 kelas pada pukul 11 pagi dalam suasana sederhana.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Shahpandi Abd. Manan berkata, keputusan itu selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan supaya tiada lagi majlis khas diadakan bagi meraikan pelajar cemerlang bagi menghormati perasaan calon-calon UPSR yang kurang berjaya.
"Jadi buat pertama kalinya, kami tidak melakukan di dewan sekolah seperti pernah diadakan sebelum ini, ia adalah bagi meraikan suasana yang lebih harmoni," katanya di SK Setiawangsa di sini semalam.
Di Putrajaya, SK Putrajaya Presint 14 juga tidak mengumumkan secara terbuka calon UPSR 2017 yang memperoleh keputusan cemerlang.
Kesemua calon hanya menerima slip keputusan masing-masing di dalam kelas.
Di Kuala Terengganu, murid tahun enam SK Sultan Sulaiman 1 meraikan keputuan UPSR dalam suasana sederhana.
Seramai 24 calon UPSR sekolah itu termasuk pasangan kembar, Muhammad Farman Hakimi Mohd. Nawawi dan Muhammad Farman Hakim memperoleh semua A dalam enam mata pelajaran.
Ibu pasangan kembar itu, Suzila Ismail, 40, berkata, dia menyambut baik pendekatan baharu Kementerian Pendidikan yang tidak lagi memberi penekanan terhadap prestasi akademik semata-mata.
"UPSR hanyalah permulaan dan banyak lagi pembelajaran yang perlu dilalui mereka selepas ini," katanya.
No comments:
Post a Comment