Translate

Friday, October 16, 2015

Rusia tidak miliki BUK sejak 2011

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Kedutaan Rusia di Malaysia tidak berpuas hati dengan laporan akhir penyiasatan nahas pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang diumumkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) pada Selasa lalu.
Duta Rusia di Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, status laporan itu dianggap berat sebelah kerana permintaan pakar negaranya untuk mendapatkan akses menyiasat bahan bukti tidak pernah dilayan oleh pasukan penyiasat DSB.
“Laporan daripada pembuat peluru berpandu (BUK) itu juga tidak dipedulikan. Kami agak kecewa dengan keputusan laporan tersebut kerana banyak persoalan telah terbiar tanpa dijawab,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Kedutaan Rusia di Malaysia, Jalan Ampang di sini semalam.
Yermolov menegaskan, Rusia tidak lagi memiliki peluru berpandu BUK kerana kesemua simpanan senjata telah dilupuskan oleh angkatan tentera negaranya pada 2011.
Kata beliau, negaranya juga tidak pernah membekalkan peluru berpandu jenis itu kepada kumpulan pemberontak yang menguasai beberapa kawasan di bahagian timur Ukraine.
“Peluru berpandu BUK telah dibangunkan pada 1986 dengan jaminan 25 tahun dan turut dimiliki oleh negara-negara bekas Soviet Union.

“Kita tahu Tentera Ukraine memiliki sebanyak 520 peluru jenis itu sehingga hari ini,” dakwanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan DSB ketika membentangkan laporan akhir penyiasatan MH17 di Lapangan Terbang Tentera Gilze-Rijen, Belanda memberitahu, sistem peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia didapati telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat malang itu pada 17 Julai tahun lalu.

Peluru berpandu yang dilancarkan dari kawasan seluas 320 kilometer persegi di timur Ukraine tersebut telah mengenai bahagian kiri kokpit pesawat MH17.

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur terhempas di wilayah yang dikawal pemberontak proRusia di Donetsk, timur Ukraine.

Semua 298 orang di dalam pesawat terbabit terbunuh termasuk 43 rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment