Translate

Saturday, October 24, 2015

Lindungi negara pada zaman sukar


KUALA LUMPUR – Bajet 2016 menyediakan perlin­dungan komprehensif untuk rakyat dan negara bagi menghadapi keadaan ekonomi yang dijangka sukar pada tahun depan disebabkan kejatuhan harga minyak dunia, kelembapan ekonomi dunia dan penyusutan nilai ringgit.
Dalam pembentangan bajet selama dua jam bermula pada pukul 4 petang semalam di Dewan Rakyat di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal atau bankrap.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak RM418 bilion pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.
“Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion berbanding RM260.7 bilion peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, RM215.2 bilion adalah untuk per­belanjaan mengurus dan RM52 bilion bagi perbelanjaan pemba­ngunan,” katanya ketika membentangkan bajet bertemakan Mensejahterakan Kehidupan Rakyat.

Turut hadir pada pembenta­ngan Bajet 2016 itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan anggota-anggota Kabinet lain. 

Perdana Menteri berkata, bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM225.7 bilion me­ningkat sebanyak RM3.2 bilion berban­ding pada tahun lalu.

“Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan kerajaan, defisit fiskal kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada tahun 2016,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun depan yang akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.

Beliau yang juga Menteri Kewangan membentangkan pelbagai langkah bagi melindungi negara termasuk melalui pelaksanaan Cukai Barang dan Per­khidmatan (GST), rangsangan pelaburan domestik, kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM1,050 dan menaikkan had gaji minimum negara daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan.  

Bajet 2016 turut meliputi cadangan pelaksanaan beberapa projek bernilai berbilion ringgit di negara ini yang bakal memberi dorongan kepada sektor perniagaan dalam tempoh jangka panjang untuk berhadapan persekitaran yang dijangka mencabar pada tahun depan.


No comments:

Post a Comment