Translate

Saturday, October 24, 2015

Prihatin kepada golongan M40


KUALA LUMPUR – Kelompok isi rumah berpendapatan sederhana yang dikelaskan sebagai M40 turut diberi tumpuan oleh kerajaan dalam usaha menangani kenaikan kos sara hidup pada masa kini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi Bajet 2016, pelbagai insentif pelepasan cukai pendapatan turut disasarkan kepada kumpulan yang mempunyai julat pendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320 sebulan bagi meringankan beban mereka.

“Antaranya, anak yang me­nyara ibu bapa meskipun tidak tinggal bersama bakal mene­rima pelepasan cukai RM1,500 untuk ibu atau bapa.

“Namun syarat dengan pendapatan ibu bapa berkenaan tidak melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Selain itu, menurut beliau, had pelepasan cukai bagi setiap anak yang berumur di bawah 18 tahun serta anak yang berumur 18 tahun ke atas melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara ditingkatkan masing-masing kepada RM2,000 dan RM8,000.

Kata beliau, bagi individu yang mempunyai anak dalam kalangan orang kelainan upaya yang melanjutkan pelajaran, had pelepasan cukai dinaikkan kepada RM8,000 berbanding RM6,000 sebelum ini.

“Had pelepasan cukai pendapatan bagi individu yang mempunyai pasangan tidak mempunyai pendapatan dinaikkan sebanyak RM1,000 iaitu menjadi RM4,000,” katanya.

Sementara itu, Najib membe­ritahu, bagi membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kelayakan caruman wajib dinaikkan kepada pekerja yang mempunyai pendapatan bulanan RM4,000 berbanding RM3,000 sebelum ini.

Beliau berkata, insentif tersebut bakal memberi manfaat kepada 500,000 pekerja dan waris mereka akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus pendapatan bulanan terakhir sekiranya pencarum meninggal dunia dalam tempoh bekerja.




No comments:

Post a Comment