Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA LUMPUR – Kawalan modal atau menambat mata wang ringgit tidak relevan dilaksanakan pada masa ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan langkah-langkah pembaharuan ekonomi yang sedang dilakukan kerajaan.
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, inisiatif kerajaan sejak beberapa tahun lalu seperti memperkenalkan gaji minimum, rasionalisasi subsidi dan meliberalkan sektor awam telah mula menunjukkan kesan positif sekali gus menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi negara.
“Berbeza ketika kita memperkenalkan tambatan ringgit pada tahun 1998, semua indikator ekonomi negara ini seperti kadar inflasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran dan imbangan perdagangan masih positif dan berada pada tahap baik.
“Langkah memperkenalkan semula kawalan modal bukan sahaja tidak berkesan mengikut situasi semasa, malah dikhuatiri boleh merosakkan semua usaha pembaharuan yang telah mengukuhkan asas ekonomi negara selama ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Zakariah berkata, sebagai perbandingan, sewaktu kawalan modal dilaksanakan kira-kira 17 tahun lalu, persekitaran ekonomi negara berada dalam keadaan lembab termasuk KDNK dan imbangan perdagangan adalah negatif.
Oleh itu, beliau berpendapat cadangan untuk melaksanakan kembali tambatan ringgit adalah langkah ke belakang dan dibimbangi akan memberi lebih keburukan kepada mata wang tersebut.
“Kemerosotan nilai ringgit yang agak mendadak pada ketika ini lebih kepada faktor keyakinan dan sentimen.
“Dua faktor itu yang patut diberi tumpuan bagi menstabilkan semula nilai ringgit, bukannya melaksanakan kawalan modal yang dilihat sudah tidak relevan lagi,” katanya.
Pada tahun 1998, kerajaan memutuskan menambat ringgit RM3.80 berbanding dolar AS selama tujuh tahun.
No comments:
Post a Comment