Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA LUMPUR – Fenomena ribut yang melanda beberapa negeri pada masa ini disifatkan sebagai luar biasa kerana ia berlaku pada luar musim iaitu Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, pada kebiasaannya, kejadian ribut petir berlaku pada peralihan musim antara Monsun Timur Laut dan Barat Daya yang berlaku antara bulan Mac hingga Mei dan Ogos hingga Oktober.
“Sepanjang tempoh Monsun Barat Daya yang bermula dari pertengahan Mei hingga September, angin yang bertiup secara tetap dari arah barat daya akan membawa cuaca panas dan kering menyebabkan atmosfera lebih stabil, proses percampuran menegak atmosfera lebih lambat dan mengurangkan proses perolakan yang kuat.
“Kejadian ribut petir yang berlaku beberapa tempat di utara dan selatan tanah air semalam (kelmarin) dianggap sebagai kes terpencil dan jarang-jarang berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Beliau mengulas kejadian ribut yang sering berlaku sejak kebelakangan ini termasuk tiga kejadian terbaru di Padang Besar, Perlis; Kulim, Kedah dan Pontian, Johor kelmarin.
Che Gayah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan fenomena tersebut akan berlaku lagi di beberapa kawasan terutama di Semenanjung Malaysia pada masa terdekat, namun ia diramal tidak kerap.
No comments:
Post a Comment