Translate

Monday, July 27, 2015

Mangsa dera semasa kanak-kanak berpotensi jadi pendera

KUALA LUMPUR – Lelaki yang membesar dalam persekitaran keluarga yang berantakan berpotensi untuk melakukan keganasan kepada pasangan masing-masing apabila mereka berumah tangga.
Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan (gambar) berkata, Laporan Keganasan Rumah Tangga 2015 mendapati 49 peratus daripada pelaku keganasan rumah tangga terdiri daripada mereka yang pernah mengalami penderaan fizikal atau mental sewaktu kanak-kanak.

“33 peratus daripada 110 mangsa penderaan terbabit yang dikaji selidik juga turut mempunyai sejarah keganasan rumah tangga sewaktu kecil. Cuma 23 peratus daripada wanita itu tidak mengetahui latar belakang keluarga suami masing-masing.

“Perlakuan keganasan rumah tangga ini berkait rapat dengan tekanan emosi dan mereka boleh dikatakan mempunyai penyakit jiwa,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Sumitra berkata, berdasarkan laporan berkenaan juga, 96 peratus keganasan rumah tangga berpunca daripada pe­rasaan cemburu, mencurigai pasangan dan masalah kewangan.

Menurut beliau, 31 peratus suami dikenal pasti telah mengasari isteri masing-masing ketika berada di bawah pengaruh alkohol manakala faktor dadah terutamanya penagihan methamphetamine, syabu dan ubat batuk merupakan punca 13 peratus keganasan rumah tangga berlaku.

“Selain penderaan mental, fizikal dan sosial, 55 peratus daripada mangsa pernah mengalami penderaan kewangan. Suami mereka bukan sahaja memeras wang mereka tanpa rela malah menggunakan nama isteri untuk membuat pinjaman peribadi.

“Hutang itu tidak dijelaskan oleh suami mereka menyebabkan wanita terbabit menjadi mangsa disenarai hitam oleh institusi kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sumitra memberitahu, sebanyak 4,807 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di negara ini sepanjang tahun lalu iaitu pe­ningkatan 57.45 peratus berbanding pada tahun 2013.

Begitupun, beliau percaya masih ramai lagi mangsa enggan tampil melaporkan perbuatan jenayah itu kerana faktor malu dan terlalu menyayangi keluarga dan suami.

No comments:

Post a Comment