Translate

Saturday, July 18, 2015

Facebook, Twitter PDRM digodam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, FAHMY AZRIL ROSLI dan AMEEN AZIZUL

KUALA LUMPUR - Laman Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal diakses oleh pengguna media sosial selama dua jam 20 minit semalam selepas kedua-dua medium media sosial itu digodam kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai AnonGhost.

Kedua-dua media sosial rasmi PDRM itu mula digodam oleh kumpulan tersebut pada pukul 2.20 petang sebelum berjaya dipulihkan sepenuhnya pada pukul 4.40 petang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengesahkan kedua-dua laman sosial milik PDRM itu telah digodam bermula pada pukul 2.20 petang.

"Ya, laman Facebook dan Twitter telah digodam pada pukul 2.20 petang tadi (semalam).

"Sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi menangani perkara tersebut dan menyiasat lanjut aktiviti penggodaman tersebut," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Plaza Low Yat di sini semalam.

Kumpulan penggodam tersebut telah menyiarkan gambar-gambar kumpulan yang menyokong Islamic State (IS) di laman Facebook dan Twitter.

Gambar yang menunjukkan sekumpulan militan IS sedang berbaris sambil mengangkat senjata dan seorang individu sedang memegang bendera kumpulan berkenaan turut dipaparkan di laman Facebook.

Turut dipaparkan dalam laman tersebut ialah slogan kumpulan militan itu dalam bahasa Inggeris iaitu Viva Islamic State (Hidup Negara Islam) dan Khalifah Has Returned (Khalifah Sudah Kembali).

Selain itu, status #AnonGhost was here (AnonGhost berada di sini) turut telah dimuat naik bagi menunjukkan kejayaan kumpulan itu menggodam kedua-dua media sosial berkenaan.

Anggota-anggota kumpulan itu turut mengumumkan nama-nama samaran antaranya iala Mauritania, Attacker, AnonxoxTn, StingerByte, Mr. Domoz dan Th3Falcon.

Tindakan AnonGhost melakukan penggodaman itu dipercayai untuk membalas denda terhadap kejayaan PDRM memberkas ramai penyokong IS di negara ini baru-baru ini.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun lalu itu dipercayai terdiri daripada 15 penggodam dari Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara.

Kumpulan berkenaan sebelum ini menjadi terkenal kerana kejayaan menggodam beberapa laman web dari Israel dengan memaparkan mesej pro-Palestin pada tahun lalu.

Kumpulan itu juga sebelum ini berjaya menggodam laman web Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan memaparkan gambar kanak-kanak Palestin yang terkorban akibat kekejaman rejim Zionis.

No comments:

Post a Comment