SHAH ALAM - Selepas hampir 48 jam, suhu lantai simen ruang tamu seorang penduduk di Kampung Seri Nadi, Jalan Johan Setia, Klang dekat sini yang dikesan menjadi panas sehingga mengeluarkan wap sejak Jumaat lalu sudah semakin menurun.
Pemilik rumah berkenaan, Rosli Sulaiman, 48, berkata, sejak pagi semalam, ruang yang berukuran kira-kira 264 sentimeter persegi itu dilihat sudah tidak lagi mengeluarkan wap.
"Walaupun suhu sudah berkurangan namun permukaan lantai simen tersebut masih terasa panas. Demi keselamatan, ruang itu masih dikosongkan seperti diarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.
"Kami sekeluarga masih binggung dan tidak dapat tidur nyenyak mengenangkan keselamatan rumah yang sudah dihuni sejak 19 tahun ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Rosli memberitahu, kakitangan Jabatan Mineral dan Geosains negeri dan Balai Bomba dan Penyelamat Seri Andalas, Klang dekat sini akan mengadakan pemeriksaan lanjut terhadap lantai simen itu pada hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap, kajian lanjut itu sedikit sebanyak dapat merungkai misteri yang menghantui mereka sejak tiga hari lalu.
Kosmo! semalam melaporkan keluarga Rosli panik apabila lantai simen di ruang tamu rumah mereka di sini tiba-tiba meningkat suhunya menjadi panas sehingga mengeluarkan wap.
Pemeriksaan oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad mengesahkan ia bukan berpunca daripada litar pintas kerana tiada sebarang kerosakan pada sistem pendawaian elektrik di kesan.
No comments:
Post a Comment