Translate

Saturday, September 18, 2010

Pesara hilang masih belum ditemui

IPOH - Kehilangan seorang warga emas, K.V. Kurusamy, 64, membingungkan polis apabila usaha untuk menjejak mayatnya di dasar bekas lombong di Taman Rasi Jaya, Menglembu sejak 10 hari lalu gagal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, sebelum ini polis mendapat petunjuk mangsa berkemungkinan lemas di dasar bekas lombong itu.

“Ia berikutan penemuan motosikal dan pakaian milik Kurusamy di tebing bekas lombong berkenaan pada sehari selepas dilaporkan hilang pada 7 September lalu.

“Namun mayat mangsa masih gagal ditemui biarpun sudah 10 hari operasi mencari dilancarkan polis dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hingga ke dasar bekas lombong terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini semalam.

Ibrahim berkata, ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis setelah Kurusamy yang merupakan seorang pesara tidak pulang ke rumahnya di Bandar Baru Lahad di sini seharian setelah keluar sendirian dengan menunggang motosikal pada tiga hari sebelum hari raya pertama.

Menurut beliau, polis kemudiannya menemui motosikal, pakaian serta dokumen pengenalan mangsa di tebing bekas lombong terbabit kira-kira lima kilometer dari rumahnya pada keesokan harinya.

“Oleh kerana mangsa masih belum dijumpai setelah 10 hari dilaporkan ghaib, polis tidak menolak kemungkinan ke hilangannya ada unsur jenayah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di bekas lombong berkenaan mendapati pasukan pencari yang terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat dan JPAM masih meneruskan ope rasi mencari mangsa di dasar bekas lombong terbabit.

No comments:

Post a Comment