Translate

Tuesday, September 21, 2010

Rumah terbakar semasa rai hari jadi ibu

IPOH - Keceriaan meraikan hari ulang tahun bertukar duka buat sebuah keluarga apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Menglembu Timur 23, Menglembu dekat sini semalam.

Kebakaran itu disedari seorang jiran ketika pemilik rumah, Char Woi Fong, 40-an, meraikan ulang tahun kelahiran ibunya, Ng Heng Moi yang ke-88 di sebuah restoran berhampiran kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Woi Fong berkata, beliau dihubungi jirannya yang memaklumkan kebakaran itu ketika sedang menikmati makan tengah hari bersama ibu dan anak saudaranya, Zhan Kor Hoi, 32.

"Hari ini (semalam) ibu saya genap berusia 88 tahun. Tak sangka pula pada hari yang sama kami kehilangan rumah yang didiami sejak 25 tahun lalu. Mujur tiada siapa di rumah ketika itu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Woi Fong berkata, berikutan kebakaran itu, mereka sekeluarga kerugian hampir RM40,000 termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diletakkan di hadapan rumah.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Abdul Rahman Mohd. Som berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 12.39 tengah hari.

"Kami dapat mengawal kebakaran tersebut sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian namun 80 peratus rumah terbabit telah hangus," katanya.

Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari bahagian hadapan rumah tersebut namun punca kebakaran masih disiasat.

No comments:

Post a Comment