Translate

Wednesday, March 31, 2010

Perasmian Sidang DUN Perak berjalan lancar

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Berbanding dua persidangan sebelum ini, perasmian Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-12 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

Selepas memeriksa perbarisan kehormatan, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang diiringi Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim menyampaikan titah perasmian tepat pukul 10 pagi.

Bekas Speaker DUN Perak, V. Sivakumar (DAP-Tronoh) yang sebelum ini tanpa rasa malu mengaku masih Yang Dipertua DUN pula didapati tidak memakai jubah Speaker, sebaliknya mengenakan pakaian rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Beberapa tindakan provokasi kecil daripada wakil rakyat pembangkang terutama Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), Sivakumar dan Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) tidak mendapat sambutan.

Sebelum sidang dibuka, Koo Ham terawal memasuki dewan cuba menarik perhatian dengan mendakwa persidangan itu dipantau oleh ratusan polis yang ditempatkan di galeri awam bangunan tersebut.

Beliau akhirnya terdiam apabila dimaklumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor), galeri itu sebenarnya dipenuhi pengamal media yang membuat liputan.

Sivakumar pula mengacah mahu merampas kerusi Speaker DUN Perak semasa Datuk R. Ganesan menjemput Raja Nazrin dan Tuanku Zara bagi upacara perasmian.

Tindakan Sivakumar itu ditegur bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar (Pas-Pasir Panjang) yang bimbang ia dilihat oleh baginda berdua.

Sejurus Raja Nazrin menyampaikan titah perasmian, Ganesan mengumumkan persidangan ditangguhkan.

Semasa Penggal Pertama Sidang DUN Perak ke-12 pada 7 Mei 2008 yang turut menyaksikan Sivakumar dilucutkan daripada jawatan Speaker DUN Perak dan digantikan dengan Ganesan, Raja Nazrin terpaksa menunggu selama enam jam sebelum merasmikan persidangan.

Pada Penggal Kedua persidangan pada 28 Oktober 2009 pula, ADUN pembangkang bersidang sesama sendiri bagi mengganggu perjalanan mesyuarat ketika Zambry sedang membentangkan Bajet 2010.

No comments:

Post a Comment