Translate

Friday, November 28, 2008

Kereta bertembung, satu maut

TAPAH - Hasrat empat bersaudara untuk menziarah keluarga di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan yang turut meragut nyawa salah seorang daripada mereka kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, kereta Mercedes Benz yang dipandu  Ismail   Ahmad , 49, bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 7.2, Jalan Bidor-Teluk Intan dekat sini.

Ketua Polis Daerah  Tapah , Supritendan Roslan Bek  Ahmad  berkata, penumpang tempat duduk hadapan kereta Mercedes Benz, Abdul Murat Mat Nor, 46, meninggal dunia kira-kira 8.30 malam ketika sedang dirawat di Hospital  Tapah  di sini semalam.

Beliau berkata, dua penumpang lain termasuk  Ismail  mengalami cedera ringan, manakala seorang lagi penumpang yang berada di tempat duduk belakang sebelah kanan, Roslan Jaafar, 50, terselamat tanpa sebarang kecederaan.

"Pemandu kereta Proton Saga, K. Kurusamy, 50, dari Taman Kinta, Gopeng dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh kerana patah kaki kanan," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, kereta Mercedes Benz yang dinaiki empat bersaudara itu datang dari Sitiawan sedang menuju ke Kuala Lumpur melalui Jalan Bidor - Teluk Intan.

"Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu  Ismail  terbabas ke laluan sebelah kiri menyebabkan kenderaan melintang di tengah-tengah jalan.

"Kereta Proton Saga yang kebetulan melalui laluan itu dari arah bertentangan tidak dapat mengelak lalu merempuh bahagian sebelah kiri Mercedes Benz berkenaan," katanya.

Roslan Bek berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (a) Akta Pe- ngangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment