TAPAH - Pihak polis yang menemui mayat seorang lelaki sudah berulat di tepi jalan Kilometer 332.6, Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Bidor Rabu lalu meragui keputusan bedah siasat yang mengatakan kematian lelaki itu disebabkan kecederaan di kepala akibat terjatuh.
Ekoran itu, pihak polis meminta bedah siasat yang dilakukan oleh Hospital Tapah itu dilakukan sekali lagi oleh pakar patologi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Ketua Polis Daerah Tapah , Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, walaupun akur dengan keputusan pakar, timbul keraguan bagaimana mayat tersebut boleh tiba-tiba berada di tepi lebuh raya.
"Mayat tersebut tiada sebarang pengenalan diri, kenderaan malah kasut milik si mati juga tidak ditemui.
"Saya jangka keputusan bedah siasat semula yang dibuat oleh (HRPB) akan diketahui dalam masa terdekat," katanya.
Jelas Roslan Bek lagi, berdasarkan maklumat awam, pihak polis menemui mayat berkenaan dalam keadaan tertiarap, masih lengkap berpakaian cuma tidak berkasut.
"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat , pihak polis percaya si mati telah meninggal dunia lebih dua hari sebelum ditemui.
"Sehingga kini identiti sebenar mayat itu masih belum diketahui kerana tiada sebarang pengenalan diri dan kenderaan si mati ditemui," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah semalam.
Katanya lagi, keputusan bedah siasat di Hospital Tapah mendapati mayat berkenaan berketurunan India, bukan Muslim dan berusia lewat 50-an.
"Susuk badan si mati sederhana, berambut kerinting dan mempunyai ketinggian kira-kira 1.63 meter.
"Saya berharap orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dan kenalan boleh menghubungi IPD Tapah atau balai polis terdekat untuk membuat pengecaman," katanya.
No comments:
Post a Comment