Translate

Friday, November 28, 2008

75 % guru memandu gagal

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Ujian Undang-Undang Bahagian 1 yang pertama diperkenalkan Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ )  Perak  sebagai pra-syarat memperoleh Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) menyaksikan kira-kira 75 peratus kegagalan.

Pengarah  JPJ   Perak ,  Mad   Yasir   Mastakim  berkata, hanya kira-kira 139 calon daripada 396 tenaga pengajar memandu yang menjalani ujian tersebut lulus pada tahap ditetapkan.

"Tahap kelulusan sama seperti calon lesen memandu awam iaitu perlu menjawab betul sekurang-kurangnya 42 daripada 50 soalan disediakan.

"Saya agak risau juga kerana hanya 35 peratus daripada tenaga pengajar yang diuji lulus. Malah ada tenaga pengajar terbabit yang hanya berjaya menjawab 10 soalan sahaja dengan betul," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Kursus Pembaharuan Sijil Pengajar Institut Memandu yang melibatkan 396 tenaga pengajar memandu seluruh  Perak .

Mad  Yasir  berkata, begitupun JPJ Perak tidak akan mengantung lesen tenaga pengajar terbabit, sebaliknya akan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani ujian bertulis itu semula pada masa depan sehingga lulus.

Beliau berkata, sehubungan itu, agensinya akan mengadakan kursus dan bengkel kepada baki 257 tenaga pengajar yang gagal ujian terbabit bagi mem- perbaiki tahap pengetahuan teori undang-undang jalan raya mereka.

"Sebenarnya pelaksanaan Ujian Undang-Undang Bahagian 1 ini bukanlah bertujuan untuk menggagal atau menghukum tenaga pengajar terbabit.

"Ia lebih kepada menilai dan memperbaiki kelemahan bagi meningkatkan prestasi institut memandu (IM) di negeri ini," katanya.

 Mad   Yasir  juga percaya kegagalan tenaga pengajar memandu terbabit bukan disebabkan mereka kurang fasih undang-undang jalan raya, tetapi kerana terkejut atau kurang bersedia untuk menghadapi ujian bertulis itu yang julung kali diadakan.

Sehubungan itu, beliau percaya tenaga pengajar di IM dan sekolah memandu berkenaan akan mendapat keputusan lebih baik dalam ujian berkenaan pada sesi akan datang.

No comments:

Post a Comment