Translate

Thursday, January 29, 2009

Tradisi yee sang diteruskan

TRADISI. Aktiviti menggaul hidangan tradisi Cina, yee sang kini semakin sinonim bagi masyarakat negara kita setiap kali tiba sambutan Tahun Baru Cina.

Hidangan berupa campuran ikan dan sayur-sayuran itu membawa maksud tersendiri kerana ikan dalam bahasa Mandarin disebut yee, manakala sayur disebut sang yang masing-masing bermaksud kemakmuran dan kemajuan.

Oleh itu masyarakat Cina percaya semakin tinggi yee sang digaul semakin banyak kemakmuran dan kemajuan yang dapat dicapai pada tahun berkenaan.

Pada majlis anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di Ipoh semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin turut tidak ketinggalan menyertai aktiviti tradisi itu bersama lebih 200 tetamu lain.

Wednesday, January 28, 2009

Pemuda sumbang Dana Palestin

BANTU PALESTIN. Penderitaan rakyat Palestin yang diserang tentera Israel baru-baru ini terus mendapat simpati rakyat di negara ini.

Tidak ketinggalan menghulurkan bantuan Pemuda UMNO cawangan Greentown, Ipoh yang berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1,277.

Sumbangan yang dikutip di kalangan kira-kira 60 anggota Pemuda UMNO cawangan terbabit disumbangkan kepada Dana Kemanusiaan Palestin (DAKAP) anjuran Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO cawangan tersebut, Affendy Harun kepada Eksekutif Pemasaran Zon Utara Kumpulan Utusan, Ajani Basri di Meru Valley Resort, Ipoh baru-baru ini.

Sunday, January 25, 2009

Kongkang disangka panda

BATU KURAU - Penduduk Kampung Bukit Bertam di sini gempar kelmarin setelah menemui seekor haiwan yang disangka beruang panda.

Bagaimanapun, setelah dibawa pulang dan diperhatikan betul-betul, mereka mendapati haiwan yang ditemui itu rupa-rupanya seekor kongkang, iaitu spesies monyet yang semakin pupus.

Seorang penduduk yang menemui haiwan tersebut, Abdul Aziz Madari, 43, berkata, haiwan itu muncul dari rimbunan buluh berdekatan dalam keadaan lemah.

"Saya ingatkan ia beruang panda tetapi memandangkan keadaannya yang lemah, saya bawa pulang dan berinya makan pisang.

"Kebanyakan jiran terdekat yang mengerumuni haiwan berkenaan pada mulanya ingat ia adalah salah satu spesies beruang panda," katanya.

Kongkang atau nama saintifiknya Nycticebus Coucang merupakan spesies monyet yang dilindungi dan memerlukan lesen untuk diburu.