Translate

Tuesday, April 15, 2025

Seronok beraya nampak, sekarang masa bayar hutang BNPL

 


  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SIKAP segelintir masyarakat sanggup berhutang demi beraya sakan bukan perkara baharu. 

Tabiat kurang baik tersebut semakin dipermudahkan dengan pengenalan kaedah Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) yang melonggarkan prosedur berhutang. 

Seronok beraya bagai tidak ingat dunia, jangan lupa hutang-hutang BNPL itu perlu dibayar selepas raya. 

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, BNPL kian popular dengan mencatatkan nilai pinjaman keseluruhan RM2.8 bilion sehingga hujung tahun lalu dalam kalangan pengguna domestik. 

Beliau berkata, kebanyakan pengguna skim berkenaan berusia dalam lingkungan 21 hingga 45 tahun dan berpendapatan purata bawah RM5,000 sebulan.

“Kemudahan membeli barang secara ansuran perlu digunakan dengan sebaiknya, bukannya mengambil kesempatan sehingga akhirnya menjerat diri sendiri,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Siti Nurain berkata, tanpa kawalan kendiri yang baik, skim BNPL boleh memberi kesan negatif terhadap pengguna.

Beliau berkata, kelulusan permohonan BNPL yang cepat tanpa penilaian kredit telus boleh merisikokan pengguna.

“Tanpa kawalan kendiri yang betul, pengguna mungkin berbelanja melebihi kemampuan sehingga akhirnya terperangkap dalam hutang.

“Mereka berisiko gagal membayar ansuran mengikut, jadual ditetapkan kerana terlalu banyak ansuran yang perlu dibayar serentak,” katanya.

Siti Nurain berkata, kegagalan membayar ansuran tepat menyebabkan pengguna BNPL dikenakan denda dan caj faedah yang tinggi.

Jelas beliau, ia menyebabkan pembelian barangan tersebut menjadi lebih mahal daripada jangkaan asal.

“Skor kredit pengguna terbabit juga akan terkesan negatif sekaligus menjejaskan kelayakan untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih penting seperti rumah dan kenderaan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menyambut baik pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 yang dijangka dikuatkuasakan pada akhir tahun ini.

Beliau berkata, akta itu membolehkan kerajaan mengawal selia skim BNPL demi melindungi kepentingan pengguna.

“Akta Kredit Pengguna 2025 bertujuan membantu pengguna agar tidak terjerumus ke dalam masalah hutang yang terlampau tinggi.

“Ia bagi memastikan kedudukan kewangan pengguna terpelihara,” katanya.

Mohd. Afzanizam berkata, pengguna juga harus berusaha celik kewangan dengan membuat perancangan dan belanjawan peribadi sebelum membuat keputusan untuk berbelanja.

Beliau berkata, pengguna harus mengelak membeli barangan secara terburu-buru dan mengikut perasaan sebaliknya berlandaskan keupayaan kewangan masing-masing.

No comments:

Post a Comment