Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Gara-gara terlalu takut digertak kononnya bakal didakwa kerana terlibat dalam perbuatan jenayah, seorang pesara guru berputih mata kerugian RM181,900 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, mangsa berusia 60 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada pukul 10.30 pagi, 2 September tahun lalu.
“Mangsa yang menetap Kampung Chegar Batang di sini didakwa kononnya telah membuat tuntutan insurans palsu dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Suspek kemudiannya mengarahkan pesara guru terbabit membuka akaun bank baharu kononnya untuk menyiasat wang milik mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Md. Sani berkata, lelaki warga emas itu yang ketakutan akur dengan arahan suspek dengan membuka akaun bank baharu menggunakan nama anaknya di cawangan bank terbabit di Machang, Kelantan.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya memberikan gambar butiran kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tersebut kepada suspek.
“Dia juga menyuruh anaknya memasukkan wang berjumlah keseluruhan RM170,000 secara berperingkat ke dalam akaun bank terbabit.
“Mangsa kemudiannya terus mengikuti arahan suspek dengan memasukkan wang tambahan berjumlah RM11,900 lagi ke akaun bank lain,” katanya.
Md. Sani berkata, pesara guru itu akhirnya menyedari dirinya tertipu apabila mendapati baki akaun bank yang baru dibukanya tersebut hanya tinggal RM104.55. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment