KUALA TERENGGANU – Tatkala insan lain ceria bersama keluarga tercinta meraikan Aidilfitri, seramai 43 pegawai dan anggota Maritim Malaysia (APMM) berkorban mengawal perairan Terengganu pada pagi 1 Syawal.
Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Redang, Mohd. Hafizuddin Mohd. Jalal berkata, beliau dan 15 anak kapalnya merupakan sebahagian warga APMM yang bertugas dalam Ops Khas Pagar Laut menjaga perairan negara daripada dicerobohi pada musim perayaan ini.
“Kami ditugaskan mengawal perairan Terengganu sehingga 180 batu nautika (333.36 kilometer) ke sempadan perairan antarabangsa sehingga 3 Syawal (kelmarin).
“Tumpuan kami memastikan perairan negeri ini
tidak diceroboh nelayan
Vietnam selain mengekang
sebarang aktiviti penyeludupan dan mencuri kabel elektronik pelantar
minyak,” katanya
ketika ditemui
Kosmo! di
sini baru-baru ini.
Mohd. Hafizuddin berkata,
beliau dan anak kapalnya sudah
‘alah bisa tegal biasa’ terpaksa
berjauhan daripada ahli keluarga
pada hari mulia tersebut.
Beliau yang sudah 13 tahun
tidak beraya bersama keluarga
berkata, mereka memahami
amanah yang digalas untuk mempertahankan tanah air mengatasi
segalanya sebaik terpilih untuk
menyarung seragam APMM.
“Saya akui sebahagian ahli keluarga kami terutama anak-anak
bersedih merayakan Aidilfitri
tanpa kami. Saya harap mereka
faham dan merelakan.
“Bagi anak kapal pula, kami
bagaikan satu keluarga besar. Biarpun bertugas di tengah lautan,
suasana malam dan pagi raya
tetap disemarakkan,” katanya.
Mohd. Hafizuddin berkata,
mereka biasanya akan melaungkan takbir raya bersama-sama
pada malam dan pagi raya.
Katanya, beliau dan anak kapal juga akan menikmati hidangan tradisional pada pagi raya
bagi mengurangkan kerinduan
kepada ahli keluarga.
Sementara itu, seorang lagi
pegawai APMM, Azman Setapa
yang bertugas sebagai cef KM Redang berkata, beliau ditugaskan
untuk menyediakan juadah pada
pagi 1 Syawal.
“Biarpun serba ringkas, kami
tetap akan menikmati hidangan raya seperti rendang, nasi
impit, nasi beriani dan lontong
bersama-sama sebagai simbolik
mensyukuri ketibaan Aidilfitri,”
tambahnya.

No comments:
Post a Comment