Translate

Saturday, January 4, 2025

Dua lelaki diberkas lepas 24 jam ragut beg tangan wanita

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua lelaki berjaya diberkas dalam tempoh 24 jam selepas dipercayai meragut seorang wanita di Jalan Sultan Muhammad berhampiran Gong Kapas di sini pada kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8.18 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu dipercayai meragut beg tangan mangsa yang merupakan seorang pegawai perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, wanita terbabit yang sedang berjalan kaki berhampiran sebuah premis perniagaan di lokasi kejadian berkenaan sebelum tiba-tiba ditolak oleh kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha NVX.

“Salah seorang daripada suspek kemudiannya melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi telefon bimbit, pengecas bateri telefon bimbit, kunci kereta dan dompet berisi dokumen peribadi dan kad bank.

“Mangsa juga mengalami kecederaan pada bahagian lutut akibat ditolak suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, perbuatan kedua-dua suspek meragut mangsa telah dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berhampiran seterusnya membawa kepada penangkapan mereka.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 26 tahun berjaya ditahan di Jalan Panji Alam di sini pada pukul 4 petang, kelmarin.

“Hasil soal-siasat terhadap lelaki itu, suspek kedua berusia 27 tahun pula berjaya ditangkap di Kampung Seberang Baroh di sini.

“Pemeriksaan juga menjumpai semula sebahagian barangan milik mangsa seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan dompet,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

EPIC ditauliah kontrak pakej A2 Petronas Carigali

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menerusi anak syarikatnya, EPIC OG Sdn. Bhd. (EOGSB) memperoleh kontrak penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pentauliahan, dan pengubahsuaian  serta penyambungan dan pentauliahan Pan Malaysia daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. (Petronas Carigali).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Muhtar Suhaili berkata, kontrak selama lima tahun sehingga September 2029 itu terbabit dengan projek Pakej A2 bagi Aset Semenanjung Malaysia kendalian Petronas Carigali. 

Menurut beliau,  kontrak tersebut menawarkan pilihan lanjutan selama tiga tahun dan seterusnya dua tahun kepada EOGSB. 

“Kontrak tersebut meletakkan EOGSB dalam kedudukan strategik bagi pertumbuhan mampan dalam sektor minyak dan gas nasional.

“Ia sekali gus memperkukuh kedudukan  syarikat ini sebagai penyedia perkhidmatan diyakini untuk menyokong kemapanan aset dan kecekapan operasi Petronas Carigali,” katanya di sini. 

Muhtar menerangkan, pemilihan oleh Petronas Carigali membuktikan keupayaan  EOGSB dalam perkhidmatan sektor minyak minyak dan gas  berkelas tinggi. 

Tambah beliau, ia sejajar dengan matlamat EPIC menjana pertumbuhan lestari dan menjalin kerjasama jangka panjang dengan peneraju industri bagi menyokong keperluan tenaga negara. 

“Selain itu, EOGSB juga telah dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran Petronas bagi kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian bagi wilayah Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan. 

“Kontrak sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran Petronas itu adalah untuk selama tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun diikuti satu tahun lagi,” katanya.

Sebelum ini, syarikat telah dianugerahkan kontrak penyelenggaraan, pembinaan, dan pengubahsuaian Pan Malaysia bagi Pakej B2 oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. 

“Kontrak selama lima tahun berakhir 31 Disember lalu itu bernilai RM500 juta,” katanya. 

Untung 400 peratus tak dapat, rugi RM81,050 ditipu pelaburan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpersona dengan tawaran keuntungan kononnya 400 peratus, seorang pengurus sebuah kedai borong berputih mata kerugian RM81,050 diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Lelaki berusia 46 tahun tersebut yang baru menyedari dirinya tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.29 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa mendakwa telah dihubungi seorang wanita yang menawarkan skim pelaburan tersebut pada pukul 3 petang, 27 April lalu.

“Suspek menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan sehingga 400 peratus.

“Mangsa yang berminat kemudiannya telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum diajar tatacara pembelajaran serta analisa pelaburan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pengurus kedai borong terbabit kemudiannya bersetuju membuat pelaburan keseluruhan sebanyak RM81,050.

Beliau berkata, pelaburan itu dimasukkan dalam lapan transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek antara 1 Mei hingga 22 Mei lalu.

“Begitupun mangsa bukan sahaja tidak mendapat keuntungan dijanjikan, malah turut disekat daripada kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan.

“Dia yang tidak lagi dapat berkomunikasi dengan pengendali pelaburan tersebut sedar dirinya tertipu,” katanya.

Azli berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Pegawai Majlis Daerah Besut ambil rasuah dipenjara dua bulan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara dua bulan terhadap seorang pegawai perancang bandar dan desa Majlis Daerah Besut (MDB) atas kesalahan rasuah berjumlah RM4,500 pada enam tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikian selepas menolak rayuan dipohon tertuduh, Zariman Ibrahim, 44.

Beliau juga mengarahkan hukuman penjara terhadap lelaki berkenaan berjalan mulai hari ini.

Terdahulu Zariman dihukum penjara dua bulan dan denda RM10,000 atas kesalahan menerima rasuah berkenaan oleh Hakim Dazuki Ali di Mahkamah Sesyen di sini pada 17 Ogos 2023.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dituduh menerima suapan tersebut daripada seorang juruukur yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia dituduh menerima rasuah berjumlah RM4,500 menerusi akaun bank peribadinya pada 4 September 2018.

Zariman dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Zamri Md. Jail. – KOSMO! ONLINE

Friday, January 3, 2025

12 pelajar universiti diberkas, belasah rakan dalam kolej kediaman

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 12 pelajar sebuah universiti awam di Kuala Nerus diberkas bagi membantu siasatan membelasah rakan sekampus mereka pada Ahad lalu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan kesemua suspek di dalam kolej kediaman pelajar universiti tersebut antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi hari berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, mangsa telah menghubungi ibunya yang ketika itu berada di rumah di Taman Sri Duyong, Melaka untuk mengadu perkara tersebut pada pukul 10.50 malam hari sama.

“Mangsa turut menghantar beberapa keping gambar bagi menunjukkan kecederaan dialami kepada ibunya.

“Ibu mangsa seterusnya pergi ke kampus universiti pada esok sebelum membawa anaknya mendapatkan rawatan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Zaki berkata, wanita tersebut seterusnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pelajar lelaki tersebut lembam dan mengalami kecederaan dalaman pada bahagian lengan, pinggang, dada, perut dan kaki kanan.

“Kecederaan itu dipercayai disebabkan pukulan daripada objek tumpul. Sehubungan itu, seramai 12 pelajar universiti terbabit telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Pelajar universiti dinasihatkan menghindari perbuatan jenayah yang boleh merosakkan masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

UMT laku siasatan dalaman pelajar dibelasah dalam kolej kediaman

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang melakukan siasatan dalaman berhubung insiden seorang pelajarnya dibelasah di dalam kolej kediaman pada Ahad lalu.

Jurucakap Pejabat Komunikasi Korporat UMT berkata, insiden berkenaan amat dipandang serius oleh pengurusan universiti tersebut.

“UMT mengesahkan terdapat laporan salah laku pelajar yang dibuat kepada pihak polis semalam (kelmarin).

“Sebagai sebuah universiti berkepentingan awam, UMT sentiasa berusaha memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu seramai 12 pelajar ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan membelasah rakan sekampus di kolej kediaman universiti antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, mangsa yang lembam dan mengalami kecederaan dalaman pada bahagian lengan, pinggang, dada, perut dan kaki kanan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Jurucakap Pejabat Komunikasi Korporat UMT berkata, pengurusan universiti bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis berhubung siasatan kes itu.

Beliau menegaskan pihak amat berdukacita kerana setiap pelajar sepatutnya sentiasa mematuhi Kaedah- Kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar) 2024. – KOSMO! ONLINE

Pengetua sekolah didakwa amang seksual pelajar perempuan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang pengetua sebuah sekolah menengah terkenal di daerah ini dihadapkan atas dua pertuduhan berkomunikasi secara lucah dan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuannya pada lima bulan lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Tajudin Mokhtar, 59, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun lima bulan.

Mohd. Tajudin didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menunjukkan gambar-gambar perempuan seksi melalui telefon bimbit kepada mangsa tersebut di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan Mohd. Tajudin dibenarkan bebas dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abd. Razak manakala Mohd. Tajudin pula diwakili peguam, Abdul Haiyyi Salim. – KOSMO! ONLINE

Piala Malaysia: Terengganu mara ke separuh akhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan mengenepikan Negeri Sembilan dengan agregat 6-2 sebentar tadi.

Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini itu, skuad Sang Penyu berjaya menewaskan skuad Jang 4-2.

TFC bakal bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat separuh akhir yang diibarat bagai ulangan final musim lalu.

Begitupun TFC hampir tersentak dengan semangat melawan skuad Jang yang berjaya mendahului 2-0 sekaligus menyamakan agregat 2-2 dalam tempoh 34 minit pertama perlawanan.

Negeri Sembilan mendahului menerusi sepakan penalti yang tenang disudahkan penyerang, Muhammad Hadin Azman pada minit ke-24.

Terdahulu skuad pelawat dihadiahkan penalti itu setelah pemain tengah importnya, Jacque Faye disahkan dikasari pertahanan tuah rumah, Muhammad Alif Zakaria oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Negeri Sembilan semakin bersemangat apabila meraih gol kedua apabila pemain tengah, A.Selvan yang bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol TFC, Muhammad Radaiazli Rahalim untuk melepaskan tendangan padu menerjah gawang tuan rumah pada minit ke-34.

Skuad Sang Penyu yang tersentak kembali menggandakan serangan sebelum berjaya mendekatkan jurang menerusi gol pertama dijaringkan pemain sayap, Akhyar Rashid pada minit ke-41.

Akhyar kemudiannya memberi hantaran cantik yang disempurnakan ketua pasukan, Safawi Rasid pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Aksi TFC semakin kemas apabila pemain pertahanan, Azam Azmi Murad berjaya menyambut hantaran Nelson Bonilla untuk meledak gol ketiga pada minit ke-81.

Pemain pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni melengkapkan malam gemilang tuan rumah apabila menyempurnakan penalti pada masa kecederaan babak kedua. – KOSMO! ONLINE

Ramai tidak peduli bendera merah

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan MOHD AZLI ADLAN

ROMPIN – Meskipun ombak bergelora dan bendera merah dipasang di pantai-pantai pe­ranginan, namun orang ramai yang menghabiskan cuti persekolahan seolah-olah tidak meng­endahkan amaran bahaya apabila mandi-manda di kawasan tersebut. 

Tinjauan Kosmo! di Pantai Hiburan, di sini dan Pantai Sepat, Kuantan mendapati meskipun angin kuat dan ombak bergelora, para pengunjung tidak menghiraukan keadaan tersebut. 

Lebih menakutkan apabila golongan kanak-kanak dilihat leka bermain air dan mandi-manda tanpa memikirkan risiko yang bakal berlaku. 

Tinjauan di Pantai Hiburan mendapati terdapat satu ben­dera merah dipasang,…

Kerani bank berhutang kad kredit RM115,950 ditipu scammer

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGGANU – Gara-gara terlalu takut digertak sindiket penipuan kononnya terlibat dalam kes menipu tuntutan insurans, seorang kerani bank berputih mata kerugian RM115,950 baru-baru ini.

Wanita berusia 41 tahun yang menyedari menjadi mangsa penipuan tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 5.38 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa telah dihubungi suspek yang mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur sewaktu sedang bekerja di sebuah bank di bandar raya ini pada pukul 11 pagi, 8 September lalu.

“Mangsa terkejut apabila dimaklumkan suspek kononnya telah membuat tiga tuntutan insurans sedangkan tidak pernah memiliki polisi berkenaan.

“Panggilan dia kemudiannya disambung kepada beberapa individu lain kononnya pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang dan pendakwa raya,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu kononnya bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Tambah beliau, mangsa yang terpengaruh sanggup mengeluarkan wang simpanannya selain berhutang kad kredit telah membuat pembayaran keseluruhan RM115,950 diarahkan suspek.

“Pembayaran itu dilakukan dalam enam transaksi ke dalam tiga akaun bank berasingan antara 19 September hingga 30 November lalu.

“Mangsa akhirnya menyedari tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, January 2, 2025

244 kg syabu bernilai RM7.8 juta dirampas di Setiu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Polis Terengganu berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah buat kali ketiga dalam tempoh kurang dua bulan dengan rampasan terbaharu syabu seberat 244 kilogram (kg) di Kilometer (KM) 62, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Rahmat di sini pada kelmarin.

Dadah bernilai keseluruhan RM7.8 juta yang merupakan rampasan terbesar di Terengganu pada tahun ini berkenaan dijumpai di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna mewah, Toyota Vellfire pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, kenderaan tersebut yang didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan telah ditahan sepasukan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di lokasi kejadian.

“Sebaik dihampiri pasukan polis trafik, pemandu kenderaan itu yang merupakan lelaki berusia 30-an terus memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran.

“Sebaik pintu kenderaan Toyota Vellfire tersebut berjaya dibuka dengan bantuan bomba pada pukul 4.10 petang, sebanyak 69 paket plastik berisi dadah disyaki syabu telah dijumpai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, rentetan itu, sebuah kenderaan pikap jenis Mitsibushi Triton yang dinaiki seorang lelaki yang disyaki berkaitan sindiket sama telah ditahan di hadapan sebuah kedai tayar di Kampung Rahmat tidak lama kemudian.

Tambah beliau, suspek enggan berhenti malah cuba merempuh anggota polis bertugas menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar kenderaan tersebut.

“Suspek berjaya melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berhampiran. Pemeriksaan di dalam kenderaan Mitsibushi Triton yang dibuka dengan bomba kemudiannya menjumpai nombor pendaftaran asal kenderaan Toyota Vellfire.

Mohd. Khairi berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut yang dapat memenuhi keperluan 1.2 juta penagih terbabit dibawa masuk dari negara jiran untuk dibawa ke pasaran Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE

Pesalah khalwat berulang akan disebat dalam dewan masjid

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Masjid Al Muktafi Billah Shah yang terletak di Ladang di sini telah bersedia untuk menjadi lokasi hukuman sebatan kepada pesalah khalwat berulang yang akan dilaksanakan esok.

Pelaksanaan sebatan sebanyak enam kali terhadap pesalah, Mohd. Affendi Awang, 42, yang merupakan duda anak lima akan dilakukan di dalam Dewan ‘Aasim yang terdapat di masjid berkenaan.

Tinjauan Kosmo! hari ini mendapati persiapan rapi sedang giat diadakan oleh kira-kira 20 kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Mereka yang dibantu beberapa pegawai Masjid Al Muktafi Billah Shah dilihat menyediakan kaunter pendaftaran dan memasang tali penghadang di luar dewan.

Notis larangan merakam gambar dan video sepanjang pelaksanaan hukuman juga ditampal di sekeliling pekaranhan dewan tersebut.

Hukuman sebat oleh pegawai penjara terhadap Mohd. Affendi akan dilaksanakan selepas solat Jumaat esok.

Terdahulu duda anak lima, Mohd. Affendi Awang, 42, dijatuhi hukuman enam sebatan itu selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu. – KOSMO! ONLINE

Sebatan khalwat: PDRM mula kawal pekarangan masjid

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula mengawal pekarangan Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini yang akan menjadi lokasi hukuman sebat pesalah khalwat berulang dijadual selepas solat Jumaat ini.

Kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran proses pelaksanaan hukuman sebat terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, terbabit dikendalikan 40 pengawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bermula pukul 12 tengah hari.

Tukang rumah berkenaan dijangka akan dibawa ke masjid tersebut dengan menaiki kenderaan Jabatan Penjara selepas solat Jumaat.

Tinjauan mendapati pekarangan Masjid Al Muktafi Billah Shah kelihatan aman walaupun mula dipenuhi jemaah yang mahu menunaikan solat Jumaat.

Terdahulu duda anak lima tersebut dijatuhi hukuman enam sebatan atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu.

Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu mengekalkan pelaksanaan hukuman sebat takzir yang pertama kali diadakan di negara ini tersebut di Masjid Al Muktafi Billah Shah.

Pelaksanaan hukuman sebat berkenaan akan diadakan di dalam dewan masjid tersebut dengan disaksikan 70 individu termasuk pengamal media. – KOSMO! ONLINE

Dua minit sebat duda khalwat berulang di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Duda anak lima yang menjadi individu pertama dihukum sebat khalayak ramai di dalam masjid atas kesalahan khalwat berulang di Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini sebentar tadi.

Mohd. Affendi Awang, 42, menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Timbalan Pengarah Penjara Marang, Mohd. Irwan Awang.

Tukang rumah yang memakai pakaian lokap berwarna merah dan memakai pelitup muka kelihatan dan reda sewaktu menerima enam sebatan tersebut yang mengambil masa kira-kira dua minit.

Dia menjalani hukuman berkenaan dalam keadaan berdiri membelakangi sebuah meja mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Bahagian belakang Mohd. Affendi dirotan oleh seorang tukang sebat lelaki dari Jabatan Penjara Marang.

Terdahulu, Mohd. Affendi dibawa pekarangan masjid dengan menaiki van sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pakar perubatan pada pukul 2.30 petang.

Seramai 70 individu termasuk pengamal media dibenar memasuki dewan masjid untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman itu.

Terdahulu, Mohd. Affendi dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya oleh Hakim Kanan Syarie, Kamalruazmi Ismail atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang wanita berusia 52 tahun yang bukan isteri dan mahramnya sekaligus menimbulkan syak perbuatan tidak bermoral di sebuah rumah di Pengkalan Ranggon, Kemaman
pukul 1.40 pagi, 16 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang memperuntukkan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara boleh dikenakan bagi kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya berkuat kuasa 1 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Hukuman sebat khalayak bukan aib tetapi mengajar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

JABATAN Kehakiman Syariah Terengganu telah melaksanakan hukuman sebat terhadap tukang rumah bagi kesalahan khalwat berulang yang buat pertama kalinya dilakukan secara terbuka di Dewan ‘Aazim, Masjid Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu. 

Pelaksanaan hukuman tersebut sebagai memenuhi perintah Hakim Syarie Kanan, Kamalruazmi Ismail setelah pesalah tersebut, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu. 

Biarpun ia pertama kali diadakan secara terbuka, pelaksanaan hukuman sebat takzir ini…

112 mangsa banjir di empat PPS di Hulu Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Empat pusat pemindahan sementara (PPS) telah mula beroperasi berikutan banjir yang kembali melanda daerah ini sejak petang tadi.

Setakat ini, seramai 112 mangsa daripada 37 keluarga telah berpindah masuk ke empat PPS berkenaan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, empat PPS tersebut ialah Balai Raya Kampung Kemat, Balai Raya Kampung Peneh, Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Cheting.

“Seramai 38 mangsa daripada 12 keluarga berada di Balai Raya Kampung Kemat.

“PPS Balai Raya Kampung Peneh pula mempunyai 35 mangsa daripada 14 keluarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 20 mangsa daripada lima keluarga sedang berlindung di PPS Kampung Lubuk Periuk.

Beliau berkata, PPS Kampung Cheting pula mempunyai 19 mangsa daripada enam keluarga.

Terdahulu, daerah ini kembali dilanda banjir gelombang seterusnya berikutan hujan lebat berlarutan selama lebih 20 jam sejam malam semalam. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, January 1, 2025

Banjir merebak ke Besut, Kemaman

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang seterusnya yang melanda Terengganu sejak semalam merebak ke dua daerah baharu iaitu Besut dan Kemaman selain Hulu Terengganu.

Setakat ini, sebanyak 17 pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka melibatkan 651 mangsa daripada 177 keluarga di ketiga-tiga daerah berkenaan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Hulu Terengganu paling terjejas dengan 412 mangsa daripada 111 keluarga sudah berpindah ke 11 PPS.

“Seramai 228 mangsa daripada 61 keluarga pula berada di lima PPS di Besut.

“PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Kemaman pula menempatkan 11 mangsa daripada lima sekelarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, pemantauan terus dilakukan memandangkan kebanyakan kawasan di negeri ini masih dilanda hujan. – KOSMO! ONLINE

Tinggal 44 mangsa banjir di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang seterusnya yang melanda Terengganu sejak kelmarin semakin pulih dengan hanya 44 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut menjadi satu-satunya daerah masih terjejas melibatkan 44 mangsa daripada 12 keluarga.

Beliau berkata, Hulu Terengganu pula telah pulih sepenuhnya dengan semua tujuh PPS yang beroperasi sebelum ini ditutup sepenuhnya secara berperingkat pada petang semalam.

“Dua PPS yang masih beroperasi di Besut ialah Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh.

“Cuaca kebanyakan kawasan di Terengganu pada hari ini diramalkan cerah,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Terengganu kembali dilanda banjir gelombang seterusnya berikutan hujan lebat berterusan selama 20 jam bermula malam Sabtu lalu.

Seramai lebih 600 penduduk di Hulu Terengganu dan Besut terjejas dan terpaksa berpindah ke PPS. – KOSMO! ONLINE

Banjir Terengganu pulih sepenuhnya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bencana banjir yang melanda Terengganu sejak kelmarin pulih sepenuhnya sebentar tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Besut sebelum ini telah menutup operasinya pada pukul 10 pagi tadi.

-Advertisement-

“Kesemua 44 mangsa daripada 12 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.

“Sebelum ini mereka berada di PPS Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang seterusnya berikutan hujan lebat berterusan selama 20 jam bermula malam Sabtu lalu.

Seramai lebih 600 penduduk di Hulu Terengganu dan Besut terjejas dan terpaksa berpindah ke PPS. – KOSMO! ONLINE