Translate

Thursday, November 7, 2024

‘Kami bukanlah orang maha kaya’

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, AIMUNI TUAN LAH dan ABDUL RAZAK IDRIS

PETALING JAYA – Kumpulan yang berpendapatan antara RM12,000 hingga RM13,000 sebulan atau golongan T15 menyatakan mereka bukanlah golongan yang hidup mewah kerana turut berdepan kos sara hidup tinggi. 

Rata-rata mereka menegaskan kehidupan mereka lebih terbeban apabila mempunyai keluarga besar selain tinggal di kawasan bandar-bandar besar berbanding pinggir bandar.

Di Kuala Terengganu, kontraktor, Zawawi Md. Salleh, 55, berkata, banyak faktor harus dilihat dan tidak boleh melabelkan golongan tertentu sebagai ‘maha kaya’ hanya berdasarkan pendapatan kasar ­bulanan. 

Menurutnya, penyasaran subsidi petrol dan kenaikan yuran pendidikan sememangnya amat membebankan. 

“Walaupun pendapatan terkumpul bulanan saya dan isteri mencecah RM13,000, namun ia tidak bermakna kehidupan kami terlalu selesa.

“Kami juga bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan bukanlah ‘maha kaya’ seperti didakwa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Zawawi berkata, beberapa langkah yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 bakal menekan golongan tersebut.

 “Tidak adil sedangkan kami golongan paling banyak menyumbang hasil cukai negara. Memang patut dahulukan golongan B40, tetapi takkan lah kami tidak dapat satu manfaat pun daripada cukai dibayar,” ujarnya. 

Di Shah Alam, seorang kontraktor, Razif Nazri, 47, berkata, perlu ada pengelasan yang jelas dan saksama memandangkan taraf hidup berbeza terutama yang tinggal di kawasan bandar atau pinggir bandar. 

“Pada mata kasar gaji berjumlah RM12,000 ke atas bagi isi rumah dilihat tinggi. Namun, untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar dalam kenaikan kos dari segala aspek adalah suatu yang tidak dapat diterima,” ujarnya. 

Menurutnya, perbelanjaan petrol suami isteri yang bekerja secara relatifnya tidak sama sekiranya seorang bekerja di Kuala Lumpur dan bandar lain. 

“Begitu juga kos isi rumah jika pasangan suami isteri tersebut bekerja dan perlu mengaji pembantu rumah selain bil-bil termasuk elektrik,” jelasnya. 

Di Gua Musang, Chee Chan Keong, 51, berkata, langkah kerajaan yang mengurangkan bantuan kepada golongan berpendapatan lima angka dilihat kurang adil kepada mereka yang turut menghadapi beberapa cabaran tersendiri. 

Katanya, seperti juga rakyat lain, salah satu cabaran utama dia yang berpendapatan RM11,800 sebulan adalah kos sara hidup yang tinggi ketika ini terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.

 “Golongan T15 tidak terkecuali apabila perlu berdepan dengan kos tambahan setiap bulan seperti bayaran perumahan, hutang kenderaan, yuran pendidikan anak-anak serta keperluan untuk mengekalkan gaya hidup tertentu. 

“Kerajaan sepatutnya memberi keadilan kepada semua rakyat kerana golongan T15 memainkan peranan penting dalam ekonomi dan masyarakat termasuk kuasa beli dan sumbangan besar kepada pembangunan negara,” ujarnya. 

Chan Keong berkata, dia berharap kerajaan dapat mengkaji semula penarafan T15 kepada golongan gaji yang lebih tinggi mencecah RM20, 000 sebulan. 

Sebalum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan menegaskan, penentuan 15 peratus golongan yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95 atau T15 akan merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. 

Beliau berkata, kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata kerana banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi dan tanggungan.

No comments:

Post a Comment