KUALA TERENGGANU – Orang ramai khususnya penduduk setempat diingatkan menghindari aktiviti air sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi bagi mengelak insiden tidak diingini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kes kematian akibat lemas ketika aktiviti air sama ada di pantai, sungai, lata dan parit sentiasa dilaporkan di negeri ini setiap kali musim tengkujuh.
“Ingatkan anak-anak kecil tidak bermain di parit dan sungai pada tengkujuh.
“Elak juga ke tempat perkelahan berisiko yang sering berlaku kepala air pada musim MTL. Setiap tahun ada kematian (akibat lemas),” katanya selepas menyerahkan barang kes narkotik bagi tujuan pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam.
Katanya, beliau juga telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di seluruh Terengganu memastikan kawasan riadah air yang berisiko dengan fenomena kepala air tersebut ditutup untuk kunjungan sepanjang musim tengkujuh.
Jelasnya, tujuh Ketua Polis Daerah terbabit perlu menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk sekurang-kurangnya memasang papan tanda amaran di lokasi riadah air berkenaan.
“Notis itu sebagai peringatan buat orang ramai agar menghindari kawasan berisiko terbabit sepanjang tempoh MTL,” katanya.
Ujarnya, seramai 1,236 pegawai dan anggota polis negeri itu sedia dikerah untuk menghadapi tengkujuh yang diramal melanda negara minggu depan.
“Penugasan operasi banjir akan dibantu dengan aset seperti 37 bot, 194 kereta, 106 kenderaan pacuan empat roda, 42 lori dan 31 van.
“Sebanyak 451 kawasan berisiko banjir telah dikenal pasti di seluruh negeri ini iaitu Kuala Terengganu (97), Hulu Terengganu (66), Setiu (58), Dungun (58), Kemaman (55), Kuala Nerus (48), Marang (35) dan Besut (34).
“Sebanyak 590 pusat pemindahan sementara (PPS) juga bersedia menampung 147,590 mangsa di Terengganu,” katanya.
No comments:
Post a Comment