Translate

Wednesday, November 13, 2024

‘Rawat sehingga 500 pesakit’

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

SETIU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal mempunyai pusat rehabilitasi ketiga khusus untuk wilayah timur yang bakal dibina di Lembah Bidong, di sini. 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur itu yang mampu merawat sehingga 500 pesakit pada satu-satu masa tersebut akan dibina di tanah kurniaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. 

 “Pusat rehabilitasi ini merupakan ketiga dimiliki Perkeso selepas Melaka dan Perak. 

“Ia selaras dengan keperluan semasa yang menunjukkan sekurang-kurangnya 15 kes pemulihan pekerja dikendalikan pusat rehabilitasi Perkeso ketika ini diterima dari zon Pantai Timur,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pusat rehabilitasi tersebut di Lembah Bidong, di sini semalam. 

 Jelasnya, pembinaan pusat rehabilitasi yang akan menelan belanja RM571.8 juta itu bakal dilengkapi kemudahan 315 katil. 

 Katanya, pusat berkenaan bakal menawarkan rawatan terapi inovatif thalassotherapy menggunakan elemen air laut yang pertama di negara ini. 

 “Rawatan hippotherapy yang menggunakan kuda sebagai instrumen pemulihan fizikal, mental dan kognitif pesakit juga akan ditawarkan. 

 “Selain itu, pusat rehabilitasi ini menyediakan teknik perubatan neuro-robotik dan cybernics bagi pemulihan golongan pekerja yang menghidap penyakit kronik serta kecederaan dan kecacatan akibat kemalangan terbabit,” katanya. 

 Katanya, rawatan pemulihan pekerja yang mencarum Perkeso tersebut akan mendapat kerjasama pakar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus. 

 Katanya, projek Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur yang baru diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu dijangka siap sepenuhnya pada 2027. 

“Pusat rehabilitasi tersebut juga akan menawarkan latihan pemulihan vokasional seperti pembuatan tembaga, pembinaan bot dan kapal tradisional, batik dan ukiran kayu.

 “Ia bertujuan memastikan kesinambungan warisan Terengganu selain meningkatkan tahap kebolehpasaran pencarum terlibat setelah selesai program pemulihan,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment