Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
DUNGUN – Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun minggu lalu sehingga menyebabkan tiga daripada mereka meninggal dunia didakwa atas pertuduhan membunuh semalam.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Norizan Ismail, 49, yang juga seorang suri rumah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Ibu tiga anak itu kelihatan keliru dan sekali-sekala bercakap seorang diri sewaktu berada di kandang tertuduh.
Wanita itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, di Jalan Pantai berhampiran UiTM Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.
Oleh itu, Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Terengganu, Azizan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Farahin Shazlin Mohd. Reduan Shah Edwin.
Azizan memberitahu, mental Norizan berada dalam keadaan tidak stabil sepanjang enam hari direman.
“Tertuduh tidak memberi kerjasama memuaskan sepanjang tempoh siasatan menyebabkan percakapan sukar direkodkan.
Berdasarkan keadaan termasuk di mahkamah hari ini (semalam), saya mohon tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental,” katanya.
Peguam Nur Farahin Shazlin Mohd. Reduan Shah Edwin yang mewakili Norizan pula menyatakan kebimbangan sesuatu buruk akan berlaku sekiranya anak guamnya ditahan di lokap sepanjang tempoh prosiding.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan, 20, di lokasi pada tarikh dan masa sama.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Hukuman penjara boleh mencecah 20 tahun sekiranya perbuatan itu mendatangkan kecederaan.
Kedua-dua mahkamah memerintahkan Norizan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bahru selama sebulan.
Turut kelihatan di mahkamah ialah suami tertuduh yang berusia 53 tahun dan beberapa ahli keluarganya yang menunggu ketibaan wanita itu pada pukul 8.30 pagi.
Kontraktor pendawaian elektrik tersebut kemudian dilihat keluar dari kamar mahkamah. Lelaki itu dikatakan berada di luar mahkamah sepanjang prosiding berkemungkinan tidak sanggup melihat isterinya berada di kandang pesalah.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan tiga pelajar UiTM maut, manakala seorang parah selepas dua buah motosikal yang ditunggang mereka dirempuh SUV Honda CR-V dipandu seorang wanita dari arah belakang.
No comments:
Post a Comment