Translate

Monday, November 18, 2024

Pelajar tahfiz maut kena renjatan elektrik

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI 

BESUT – Pelajar tahfiz, Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 18, yang maut terkena renjatan elektrik di sebuah madrasah tahfiz di Kampung Gong Penaga, Jabi di sini kelmarin, selesai menghafaz al-Quran akhir bulan lalu. 

Seorang pengurusan maahad tahfiz tersebut yang enggan dikenali berkata, remaja lelaki berasal dari Klang, Selangor itu telah belajar di pusat tersebut kira-kira tujuh tahun lalu. 

“Allahyarham (Muhammad Fahim Rasyidi) diberi cuti seminggu setelah majlis syahadah tahfiz (selesai menghafaz al-Quran). 

“Dia baru kembali untuk meneruskan pengajian beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Difahamkan Muhammad Fahim Rasyidi telah 23 kali khatam al-Quran termasuk terbaharu kira-kira dua bulan lalu. 

Menceritakan kejadian, dia berkata, mangsa telah terpegang mentol sewaktu mahu mengambil wuduk berhampiran ruangan surau maahad tersebut selain kawasan lantai ruangan itu digenangi air ekoran hujan lebat. 

“Mentol itu dipasang pada suis yang terletak berhampiran ruangan wuduk,” katanya. 

 Beliau memberitahu, jenazah Muhammad Fahim Rasyidi disembahyangkan di maahad tersebut sebelum dikebumikan di kampung halamannya, Klang. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, remaja lelaki itu dikatakan terkena renjatan elektrik selepas memegang mentol dengan keadaan pada waktu itu hujan lebat.

 “Mangsa dikatakan memegang mentol itu sewaktu mahu membasuh tangan. 

 “Renjatan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum dia dikejarkan ke Hospital Besut dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan,” ujarnya. 

Abdul Rozak berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

No comments:

Post a Comment