Oleh MOHD AZLI ADLAN
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited membentuk generasi muda yang beradab, berakhlak, berintegriti serta progresif selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI.
Konsep Karamah Insaniah telah dipraktikkan KPM di bawah kepimpinan Menterinya, Fadhlina Sidek bagi memacu murid dan pelajar yang kukuh jati diri, bersahsiah dan memiliki kompetensi.
Ia mendukung prinsip Rukun Negara khususnya Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan bagi melahirkan warga negara yang kukuh asas agama, berempati dan penyayang.
Sehubungan itu, program Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah (ILSS) telah dianjurkan bagi mencapai misi tersebut terutama dalam kalangan murid dan pelajar beragama Islam.
Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, KPM, Omar Salleh berkata, ILSS merupakan pertandingan pengucapan awam, bicara berirama dan kuiz berkaitan pengetahuan Islam dalam bahasa Melayu dan Arab.
Beliau berkata, program kurikulum tersebut bertujuan mengukuh pemahaman syiar Islam dan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan murid sekolah.
“ILSS platform terbaik untuk mengembangkan bakat dan potensi murid terutama yang melibatkan pengucapan awam dalam bahasa Arab.
“Ia mampu menyumbang kepada kemenjadian murid secara holistik selaras visi dan misi KPM dalam melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara,” katanya ketika merasmikan penutup ILSS KPM peringkat kebangsaan di Kuala Nerus, kelmarin.
Program ILSS KPM peringkat kebangsaan diadakan selama empat hari bermula 24 Oktober yang disertai oleh 384 murid sekolah rendah dan menengah mewakili 16 kontinjen seluruh negara.
Omar berkata, sebanyak enam acara merangkumi 10 kategori dipertandingkan iaitu Daie Cilik dan Kalam Arabiy bagi kategori lelaki dan perempuan, serta kalam jamaie terbuka untuk peserta sekolah rendah.
Tambah beliau, peserta sekolah menengah pula bertanding dalam acara mimbar daie kategori lelaki dan perempuan, serta Kalimatussobah menengah rendah (tingkatan satu hingga tiga) dan atas (tingkatan empat dan lima).
“Acara kuiz pula terbuka dan ia menguji penguasaan pelajar dalam bahasa Arab merangkumi sukatan pelajaran dari tingkatan satu hingga lima,” katanya.
Omar menjelaskan, Daie Cilik dan Mimbar Daie merupakan pertandingan pengucapan awam individu berformat tazkirah santai dalam bahasa Melayu.
Sementara itu, Kalam Arabiy dan Kalimatussobah pula adalah pengucapan awam individu dalam bahasa Arab, manakala Kalam Jamaie ialah bicara berirama dalam bahasa Arab.
Dalam program berkenaan, kontinjen Selangor dan Perak membuktikan keunggulan masing-masing setelah muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah dan menengah.
Nur Syafiqah Amani Mohd. Raza, 16, yang mewakili Kuala Lumpur pula muncul johan acara Mimbar Daie kategori perempuan, sekali gus mengulangi kejayaan merangkul tempat pertama Daie Cilik dalam pertandingan sama pada empat tahun lalu.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amiruddin Baki, yang menyampaikan tazkirah bertajuk Puasa itu sempat menzahirkan rasa gembira selepas pengorbanannya berjam-jam berlatih selepas waktu sekolah berbalas.
Dalam pada itu, Muhammad Irfan Azhar, 12, mewakili Selangor yang menyampaikan tazkirah bertajuk Cintai Negara dalam bahasa Arab diumum johan acara Kalam Arabiy kategori murid lelaki.
Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Klang itu berkata, dia berlatih pengucapan awam dalam bahasa Arab selama enam bulan dengan bimbingan Ustazah Norazlisa Che Ahmad dan Nur Nhazzla Abdul Wahab.
“Harapnya kemenangan ini dapat menjadi ‘tiket’ kepada saya memasuki Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang di tingkatan satu nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment