DUNGUN – Mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui sering terbayang gurau senda tiga sahabatnya ketika mereka menghabiskan masa selama dua jam sebelum terbabit kemalangan Rabu lalu.
Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, berkata, dia bersama Khairul Anwar Jamaludin, 20, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, ke pusat bandar pada hari berkenaan untuk membeli barangan keperluan.
“Kami menghabiskan masa hampir dua jam bermula pukul 5 petang di (pusat) bandar. Sewaktu membeli barangan keperluan, kami bergurau-senda sebelum pulang ke kampus menjelang waktu maghrib.
“Sewaktu motosikal kami mahu membelok masuk ke pintu pagar kampus (UiTM Dungun) kami tiba-tiba dirempuh. Saya tidak sedar apa-apa selepas itu, orang kata saya terpelanting ke dalam longkang,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Dungun di sini semalam.
Terdahulu beliau disantuni Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim.
Pelajar tahun dua Sarjana Muda Perakaunan itu berkata, dia dibenarkan pulang semalam dan akan menjalani pemulihan di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur.
Muhammad Ammar Danish berkata, tiada sebarang perubahan dilihat sewaktu bersiar-siar di pusat bandar dan kehilangan tiga sahabat baiknya dalam sekelip ujian amat berat buat dirinya.
“Pada hari pertama dan kedua, saya memang sedih, namun atas nasihat keluarga dan pensyarah, saya menerima takdir.
“Saya berjanji belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian demi tiga sahabat yang telah ‘pergi’,” katanya.
Dalam pada itu, Maliaman berkata, proses pemulihan Muhammad Ammar Danish akan terus dipantau termasuk penyediaan perkhidmatan kaunseling oleh UiTM,” katanya.
Dalam pada itu, bapa Muhammad Ammar Danish, Mohamad Ridhuan Mohd. Shariff , 52, menerima permohonan maaf dibuat suami wanita yang melanggar anaknya.
“Pandangan saya pelaku tidak mungkin akan sesuka hati melanggar orang jika dia normal.
“Apapun yang penting ialah pemulihan fizikal dan emosi anak saya agar dapat meneruskan pengajian selepas ini,” katanya.
Dalam kejadian pukul 7.20 malam itu, tiga pelajar UiTM Dungun maut selepas dua buah motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah SUV yang dipandu seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, cedera dan masih dirawat di Hospital Dungun.
No comments:
Post a Comment