KUALA LUMPUR - Seorang anak bekas anggota polis dijatuhi hukuman khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh setahun atas kesalahan memukul kakak sulungnya dan mengugut ibu serta abang lelaki kandung dengan sebilah pedang samurai dua bulan lalu.
Majistret Nur A'minatul Mardiah Md. Nor turut mengenakan syarat tambahan agar Nizam Aqmal Rusli, 19, melaporkan diri dan menjalani ujian urin di balai polis berhampiran pada setiap bulan sepanjang tempoh hukuman berkenaan.
Nizam Aqmal yang merupakan seorang pesalah muda juga diarahkan untuk menjalani sesi kaunseling bersama keluarga dan tidak dibenarkan untuk keluar dari kediaman antara pukul 12 tengah malam dan 6 pagi.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membaling topi keledar dan memukul kepala serta muka kakaknya, Nurul Atiqah, 27, dengan tangan hingga menyebabkan luka dan lembam di rumah mereka di Blok G2, Tingkat 1A, Balai Polis Kepong di sini pada pukul 11.30 pagi, 11 November tahun lalu.
Nizam Aqmal juga dituduh melakukan ugutan terhadap ibunya, Rubiah Samin, 45, dan abangnya, Noor Aliff, 25, dengan menggunakan sebilah pedang samurai milik Allahyarham bapanya di lokasi dan masa sama. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment