Translate

Tuesday, January 19, 2016

Cubaan curi lori punca nahas korbankan 2 pelajar

KAJANG – Polis mengesahkan kejadian kemala­ngan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Cheras dekat sini kelmarin hingga menyebabkan kematian dua pelajar sekolah itu berpunca daripada satu percubaan mencuri lori tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, siasatan menunjukkan, pemandu lori tersebut yang merupakan seorang warga Indonesia telah meletakkan lori yang dipandunya di sebelah kiri kira-kira satu kilometer daripada lokasi kejadian untuk singgah makan tengah hari.

“Selepas beberapa minit pemandu lori itu meninggalkan kendera­annya, lori itu telah dicuri oleh seorang lelaki tidak dikenali.

“Lelaki itu disyaki memandu lori berkenaan sejauh kira-kira satu kilometer untuk keluar daripada sebuah kawasan pembinaan berhampiran, namun dia gagal mengawal kenderaan itu menyebabkan lori terbabas dan melanggar sebanyak 40 kendera­an hingga menyebabkan dua pelajar maut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, polis telah menahan reman seorang warga Indonesia berusia 39 tahun yang merupakan pemandu asal lori terbabit selama seminggu bagi membantu siasatan.

Kosmo! semalam melaporkan, dua pelajar perempuan yang sedang menunggu untuk memasuki sesi petang persekolahan maut tersepit di bawah van yang dilanggar sebuah lori hantu di hadapan SMK Bandar Damai Perdana.

No comments:

Post a Comment