Translate

Wednesday, January 27, 2016

Dituduh menyamar polis trafik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan menjalankan tugas me­ngiringi kenderaan awal bulan ini.
Pengawal peribadi, Rahiman Ghazali, 39, dan peniaga pasar malam, Zainul Rizal Zaini, 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasi­ngan di hadapan Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris.
Berdasarkan pertuduhan, Rahiman dan Zainul Rizal didakwa menyamar sebagai anggota polis de­ngan berpakaian dan menggunakan motosikal jenis Honda CBX750 menyerupai anggota polis trafik serta menjalankan tugas mengiring di Jalan Raja Chulan menghala ke Jalan Tun Razak di sini pada pukul 7 petang, 5 Januari lepas.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Farith Muhamad Faizal manakala Rahiman serta Zainul Rizal masing-masing diwakili peguam Md. Redzwan Othman dan Yusman Che Amran.

Mohd. Rehan membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan kes pada 29 Februari depan.

Rahiman dan Zainul Rizal membayar jaminan tersebut.

Akhbar sebelum ini me­laporkan dua lelaki ditahan kerana disyaki me­nyamar sebagai anggota polis trafik bagi menjalankan kegiatan mengiringi ken­deraan de­ngan me­ngenakan bayaran tertentu.

Mereka ditahan oleh anggota polis ketika sedang mengiringi tiga buah kenderaan mewah dipercayai milik orang kenamaan di Jalan Raja Chulan berhampiran Bukit Bintang di sini.


No comments:

Post a Comment