Berdasarkan pertuduhan, Chin Wah, 58, didakwa gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya untuk mengisytiharkan perolehan daripada komisen berjumlah RM961,500 di dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Januari 2014.
Notis tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Tertuduh yang sudah berkhidmat dengan PDRM selama 37 tahun didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014.
Chin Wah dituduh mengikut Seksyen 49(3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Muhammad Saifuddin menawarkan wang jaminan sebanyak RM100,000 dan amaun itu dicadangkan berdasarkan penalti yang boleh dikenakan berdasarkan seksyen dalam akta berkenaan.
Begitupun, Geetham Ram membantah dan mencadangkan agar wang jaminan ditawarkan pada kadar RM10,000.
“Tujuan jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Sepanjang siasatan selama dua tahun setengah, tertuduh juga telah memberi kerjasama dengan hadir ke SPRM untuk membantu siasatan termasuk kali terakhir pada 21 Januari lalu (kelmarin).
“Dia yang merupakan seorang penjawat awam nekad untuk membersihkan namanya di mahkamah,” katanya.
Mohd. Nasir membenarkan Chin Wah dibebaskan dengan wang jaminan RM30,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 23 Februari depan.
Chin Wah membayar wang jaminan itu.
Terdahulu Chin Wah yang berpakaian baju kemeja berwarna putih dan berseluar hitam tiba di mahkamah dalam keadaan tenang dan tersenyum. Kedua-dua belah tangan tertuduh bergari di depan. Chin Wah menutup kedua-dua belah tangannya yang bergari dengan sehelai baju kot sambil diiringi oleh peguamnya dan pegawai penyiasat SPRM.
No comments:
Post a Comment