Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
BOTA - Agensi pembangunan usahawan tekno tempatan, Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. ( TPM ) bercadang untuk mengembangkan operasi mereka di Sabah dan Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Nasarudin Hashim berkata, ia bertujuan untuk mengembangkan lagi usaha TPM membantu pemasaran produk usahawan tekno khususnya pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam bidang bioteknologi dari negeri tersebut.
"Setakat ini, selain di TPM , Bukit Jalil, kami mempunyai dua cawangan di Raub, Pahang dan Kangar, Perlis.
"Berdasarkan permintaan tinggi di Sabah dan Sarawak, kami bercadang untuk membuka cawangan baharu di Sabah dan pembukaannya masih dalam peringkat perbincangan," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran TPM di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bota Kiri di sini semalam.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr. Ewon Ebin dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM , Datuk Mohd. Azman Sahidin.
Nasarudin berkata, setakat ini, TPM telah mengkomersialkan hampir 3,000 produk usahawan tekno tempatan sejak agensi di bawah Mosti itu mula diperbadankan pada September 1996.
Menurut beliau, produk-produk tersebut merangkumi bioteknologi, kejuruteraan, telekomunikasi dan kandungan serta perkhidmatan sokongan.
"Sambutan terhadap perkhidmatan TPM sangat menggalakkan terutama dalam bidang bioteknologi seperti produk kesihatan, makanan dan kosmetik daripada herba, rempah ratus semula jadi tempatan.
"Kita akan lebih giat lagi mempromosi aktiviti dan perkhidmatan TPM yang menawarkan potensi besar untuk masyarakat meneroka manfaat ekonomi," katanya.
No comments:
Post a Comment