Translate

Thursday, August 1, 2013

Penarik kereta mati angkara persengketaan kongsi gelap

IPOH - Keseronokan tiga sahabat minum di ruang luar sebuah restoran berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya mati manakala dua lagi parah selepas ditembak dari jarak dekat dalam kejadian yang disyaki berlaku akibat persengketaan antara kumpulan kongsi gelap kelmarin.

Polis bagaimanapun masih menyiasat kumpulan mana yang terlibat dalam kejadian itu.
Kejadian di Lebuh 5, Kampung Simee di sini pada pukul 10.15 malam itu mengakibatkan penarik kereta,  Jasrafveenderjeet  Singh, dari Taman Tambun Jaya di sini mati di tempat kejadian selepas terkena satu das tembakan di lehernya.

Dua rakannya, Koo Loo Kong, 55, dan Sarbjit Singh Harder Singh, 28, pula cedera parah selepas masing-masing terkena tembakan di telinga dan lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika tiga rakan itu sedang minum, mereka didatangi sebuah kereta Proton Wira berwarna hijau dinaiki dua lelaki.

Katanya,  Jasrafveenderjeet , 25, kemudian bangun dari meja makan tersebut lalu menuju ke arah kereta berkenaan.

"Sebaik dia menghampiri kereta, penumpang depan kereta itu terus melepaskan empat das tembakan ke arahnya," kata Chang Keong kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, dua das mengenai Loo Kong dan Sarbit Singh yang duduk berdekatan manakala satu das lagi tersasar.

Menurut Chang Keong, suspek kemudian terus melarikan diri setelah melepaskan tembakan. Siasatan mendapati penjenayah menggunakan pistol jenis automatik ekoran penemuan empat kelongsong peluru jenis Lugger 9 milimeter dan serpihan anak peluru di situ.

"Polis masih menyiasat motif kejadian namun tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh persengketaan antara kumpulan kongsi gelap berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh," katanya.

Mayat  Jasrafveenderjeet  dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat. Dua lagi mangsa kini stabil selepas dirawat di hospital sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment