Translate

Tuesday, August 20, 2013

Penduduk Kampung Balun pulihkan Surau Tinggi

SLIM RIVER - Penduduk  Kampung   Balun  di sini mengambil inisiatif membaik pulih sebuah  surau  lama berusia 90 tahun yang dikenali sebagai  Surau Tinggi  baru-baru ini.

Wakil penduduk, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata,  surau  yang dibina atas usaha pengasas  kampung  berkenaan, Mohd. Ibrahim Bujang pada 1923 itu bukan sahaja unik malah dibina sepenuhnya dengan kayu tanpa menggunakan paku.

"Namun,  surau  setinggi hampir tiga meter dan mempunyai mimbar di tengah-tengah itu ditinggalkan lebih 30 tahun atas faktor keuzuran.

"Begitupun, atas kesedaran rumah ibadat itu merupakan khazanah yang tidak ternilai dari segi sejarah dan seni bina negara, ia telah dibaik pulih," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka  Kampung   Balun  di pekarangan  Surau   Tinggi  semalam.

Majlis itu yang dijalankan serentak dengan pembukaan semula  surau  berkenaan menyaksikan hampir 200 penduduk menunaikan solat zohor dan asar secara berjemaah.

Kamarul Rashdan yang juga cicit Mohd. Ibrahim berkata, usaha baik pulih kerosakan beberapa struktur  surau  turut dibantu 13 anggota tentera menerusi program Jiwa Murni bermula awal tahun ini.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad memberitahu, kerja-kerja baik pulih termasuk pemasangan bekalan elektrik dan air ke  surau  tersebut siap sepenuhnya pada Ramadan lalu.

"Kami bercadang untuk menganjurkan beberapa program seperti pengajian agama dan tahfiz al-Quran pada masa terdekat bagi mengimarahkan semula  Surau   Tinggi  ini.

"Selain itu, penduduk  kampung  juga berharap Jabatan Warisan Negara dapat mempertimbangkan untuk mewartakan rumah ibadat yang diinspirasi daripada seni bina Riau, Indonesia itu sebagai salah satu bangunan warisan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment