azli.adlan@kosmo.com.my
BATU GAJAH – Kehilangan dua sahabat sejak dua hari lalu terjawab apabila mayat mereka ditemui di dalam sebuah kolam ikan dekat Jalan Ipoh-Lumut di sini semalam.
Mohammad Zhairii Shahuddin, 27, dan Mohd. Yati Yeop Ahmad, 42, dijumpai dalam keadaan berpelukan di dasar kolam sedalam tiga meter oleh pasukan Unit Penyelam Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah pada pukul 8.28 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam kolam berkenaan pada pagi Sabtu lalu.
Selepas 24 jam tidak pulang ke rumah, keluarga mangsa membuat laporan mengenai kehilangan mereka di Balai Polis Pusing di sini.
“Kita percaya dua mangsa itu sedang menjala ikan sebelum terjatuh dengan seorang daripada mereka cedera di kepala,” katanya kepada Kosmo!.
Kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Isteri Mohd. Yati, Sarinah Mohd. Hatepi, 35, memberitahu, suaminya keluar rumah pada malam Sabtu lalu selepas menonton perlawanan bola sepak persahabatan antara Harimau Malaya dan Barcelona.
"Sebelum kejadian, dia singgah di rumah Mohammad Zhairii dan kemudian mereka berdua pergi ke kolam ikan tersebut pada pukul 4 pagi dengan menaiki kereta Perodua Kancil.
"Apabila suami saya tak pulang, kami sekeluarga pergi ke kolam tersebut, namun dia tidak kelihatan kecuali kereta itu sahaja," katanya ketika ditemui di rumah mayat HRPB.
No comments:
Post a Comment