Translate

Monday, September 17, 2012

Kandapan menang pertandingan kereta merdeka

 TAIPING - Hiasan kreatif sebuah  kereta  milik seorang pengusaha syarikat pengangkutan menarik perhatian  Plus  Malaysia Berhad ( Plus ) untuk dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan  kereta   merdeka  semalam.

Dekorasi Proton Exora milik M. Kandapan, 52, dari Bandar Sri Alam, Masai, Johor yang memaparkan pelekat  kereta  bercorak Jalur Gemilang dan foto kelima-lima Perdana Menteri negara berjaya menarik perhatian panel juri pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan berkenaan.

"Seakan sudah jadi tradisi, saya akan menghias  kereta  dengan dekorasi yang berpadanan dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan setiap kali 31 Ogos menjelma sejak 11 tahun lalu.

"Saya lakukannya sekadar untuk menunjukkan semangat patriotik dan tidak pernah sertai sebarang pertandingan sebelum ini," kata Kandapan selepas majlis penyampaian hadiah berkenaan di Hentian Sebelah Bukit Gantang di sini semalam.

Selaku pemenang, Kandapan menerima ganjaran wang tunai RM1,000, sekeping kad Plusmiles dan kad prabayar Smart Tag yang disampaikan Pengarah Urusan dan Ketua Pengawai Eksekutif  Plus , Datuk Noorizah Abdul Hamid.

Kandapan menambah, beliau membelanjakan hampir RM4,000 untuk menghias keretanya yang turut mengibarkan 55 bendera Jalur Gemilang dan bendera semua 13 negeri.

Tambah manis, adik ipar Kandapan, S. Kannan, 44, turut terpilih sebagai pemenang kedua pertandingan terbabit sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM900, kad Plusmiles dan kad prabayar Smart Tag.

Pemenang pertandingan  kereta   merdeka  itu terpilih daripada lebih 30 juta kenderaan yang menggunakan Lebuh raya Utara-Selatan sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan bermula 17 Julai lalu.

Dalam pada itu, pengendali Hentian Sebelah Bukit Gantang menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan setelah terpilih sebagai pemenang pertandingan R&R berhias terbaik sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55.

No comments:

Post a Comment