Translate

Saturday, September 1, 2012

Hias rumah sempena merdeka

 IPOH - Sepasang suami isteri menzahirkan semangat patriotik mereka apabila menghiasi pekarangan rumah mereka dengan dekorasi bertemakan Hari Kemerdekaan ke-55 di Medan  Klebang   Restu , Chemor di sini.

Norliya Ibrahim, 57, berkata, dekorasi yang bertemakan 'Janji Ditepati' itu mengandungi susunan Jalur Gemilang, replika pesawat dan rumah tradisional Melayu serta pokok bonsai.

Katanya, sudah menjadi tradisi dia dan suami, Mohd. Aini Odin, 62, menghias pekarangan rumah dengan dekorasi kemerdekaan setiap kali sambutan sejak lima tahun lalu.

"Dekorasi ini digubah dengan menggunakan barangan terpakai mengikut kreativiti kami berdasarkan tema Hari Kemerdekaan tahun berkenaan," katanya ketika ditemui semalam.

Norliya berkata, dia dan suami mengambil masa enam jam untuk menyiapkan dekorasi terbabit yang dilakukannya pada malam 18 Ogos lalu.

Menurut ibu kepada empat anak berusia 22 hingga 32 tahun itu, mereka bercadang untuk mengekalkan dekorasi berkenaan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

"Ini cara saya dan suami yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia menunjukkan rasa cinta terhadap tanah air.

"Saya harap ia menjadi contoh kepada generasi muda kerana kemerdekaan bukan mudah dicapai dan perlu dipertahankan sampai bila-bila," katanya.

Jelasnya, dekorasi Hari Kemerdekaan rumahnya pernah mendapat pengiktirafan pada tahun 2008 apabila muncul pemenang utama Program Semarak Perpaduan dalam kategori Keceriaan dan Kebersihan Kediaman anjuran Jabatan Penerangan Perak.

No comments:

Post a Comment