Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Keresahan orang ramai mengenai keganasan empat perompak
Indonesia yang gemar mengenakan sut hitam ala Unit Tindakan Khas (UTK)
ketika merompak rumah berakhir apabila kesemua suspek mati dalam
kejadian berbalas tembak di Taman Meru 2C di sini semalam.
Suspek-suspek bersenjatakan pistol dan parang itu menemui ajal
selepas ditembak sebaik kereta jenis Proton Wira Aeroback yang mereka
naiki terbabas di kawasan semak di sebuah dusun buah-buahan di pinggir
taman tersebut.
Suspek dikatakan telah memecah masuk 15 buah buah rumah di bandar
raya ini, Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Taiping sejak beberapa bulan
lalu.
Modus operandi suspek ialah mereka akan memecah masuk rumah dengan
mengumpil pintu jeriji besi atau tingkap pada awal pagi, kemudian
mengikat atau mengurung mangsa sebelum melarikan diri.
Terbaharu, penjenayah tersebut merompak rumah yang didiami tiga warga Jepun, Shimizu Akira, 33; isterinya, Manami Shimizu, 33, dan seorang pelajar dari Tokyo Institute of Technology, Oya Kitaro, 22, di Meru Valley Golf di sini pada pukul 6 pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, suspek yang memakai baju T, seluar jean dan topeng muka serba hitam melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM200,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, selain rumah warga Jepun itu, suspek juga telah memecah masuk sebuah rumah lagi di Puncak Meru di sini pada 30 Ogos lalu.
Katanya, polis kemudian mempertingkatkan kawalan sebelum terserempak dengan kereta suspek di persimpangan susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Puncak Meru pada pukul 2 pagi.
"Pemandu kereta itu terus memecut sebaik diarahkan berhenti lalu dikejar polis sejauh lima kilometer.
"Kereta itu kemudian terbabas sebelum dua daripada empat penjenayah yang bersenjatakan pistol melepaskan tembakan manakala dua lagi cuba menyerang polis dengan parang," kata Mohd. Shukri pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, polis kemudian membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
Menurut Mohd. Shukri, pemeriksaan di dalam kereta menemui barangan yang dicuri di rumah warga Jepun itu seperti tiga komputer riba, tiga kamera digital, lima telefon bimbit, dua jam tangan, loket jed, kamus digital dan wang 569,000 Yen Jepun (RM22,414).
"Polis turut merampas dua pucuk pistol, empat kelongsong, satu kelopak dan sebutir peluru, tiga bilah parang, sebatang kuku kambing, sebatang pemotong besi, sebatang pemotong zink, kereta, wang 78,000 Rupiah Indonesia (RM25) dan RM285," katanya.
Sementara itu, ketiga-tiga warga Jepun itu memuji tindakan pantas polis yang dapat menyelesaikan kes pecah rumah itu dalam tempoh 24 jam.
"Kami menghargai dan berterima kasih kepada polis kerana berjaya menewaskan penjenayah dan menemui semula harta benda kami," kata Kitaro.
Katanya, Akira dan isterinya baru sampai di sini dari Tokyo, Jepun 10 hari lalu untuk bekerja sebagai jururunding perniagaan di sebuah kilang elektronik di Jelapang di sini.
Kitaro pula sedang menjalani latihan praktikal di kilang sama selama tiga bulan sejak 17 Ogos lalu. Banglo itu disewa oleh majikan untuk mereka tinggal buat sementara.
No comments:
Post a Comment