IPOH - Gaya macam seperti hendak beraya tetapi sebenarnya merempit. Jika pelesit rempit menguasai Lebuh Raya Besraya di Selangor, masalah yang sama juga berlaku di Ipoh.
Perangai segelintir remaja yang menjadikan Lebuh Meru Raya , Bandar Meru Raya di sini sebagai litar perlumbaan semakin menjadi-jadi hampir setiap malam sejak awal Ramadan lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati sekumpulan pelesit rempit yang sebahagian besar dipercayai pelajar sekolah menunggang laju motosikal masing-masing di laluan yang juga susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang di sini tersebut.
Biarpun ada di antara mereka berpakaian kain pelekat dan berkopiah, ia tidak menjadi halangan untuk melakukan aksi-aksi bahaya seperti Superman, wheelie dan wikang.
Hampir setiap malam, pelesit rempit berkenaan mula membanjiri Lebuh Meru Raya yang sepanjang lima kilometer itu antara pukul 9 malam hingga 11 malam.
Seorang penduduk, Mohd. Hasrul Ishak, 47, berkata, berdasarkan pemerhatiannya, laluan utama Bandar Meru Raya tersebut mula menjadi sasaran pelesit rempit sejak awal Ramadan lagi.
"Saya syak remaja ini datang dari beberapa taman perumahan berdekatan. Bunyi bising daripada enjin motosikal mereka mengganggu penduduk terutama jemaah yang bersolat berjemaah di surau berhampiran," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Rosnah Harun, 45, pula mendesak pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan mengambil tindakan sebelum perkara buruk berlaku termasuk kemalangan maut.
"Lebuh Meru Raya merupakan laluan yang sibuk dengan kenderaan berat yang mahu memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan.
"Saya harap kita tak perlu tunggu ada nyawa melayang baru hendak mengambil tindakan mengatasinya," katanya.
No comments:
Post a Comment