Translate

Wednesday, September 28, 2011

IEE buka peluang niaga usahawan elektrik

 IPOH - Syarikat Intergrated Electrical & Electronic Sdn. Bhd. (IEE) yang berpusat di sini bercadang untuk membuka peluang perniagaan barangan elektrik kepada usahawan bumiputera di negeri Perak secara francais mulai tahun depan.

Pengarah Urusannya, Mohd. Zabidi Razalli berkata, keputusan untuk melebarkan perniagaan melalui program francais itu adalah berdasarkan permintaan usahawan yang ingin menceburi bidang yang sama.

“Kami bercadang memperkenalkan tiga jenis kedai mengikut kesesuaian tapak dan kawasan dengan anggaran modal sebanyak RM150,000, RM250,000 dan RM500,000.

“Sehubungan itu, kami sedang menjalin hubungan dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) dan Majlis  Amanah Rakyat (Mara) untuk merealisasikan pelan perkembangan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penjenamaan semula kedai-kedai IEE dengan nama Hub Brite di sini semalam.

Mohd. Zabid berkata, bermula dengan cawangan pertama di Taman Mewah di sini pada 1997, Hub Brite kini semakin berkembang dengan penambahan dua cawangan di Ulu Kinta dan Taman Bercham Raya.

“Berbekalkan penjualan barangan elektrik berjenama dan berkualiti dan perkhidmatan selepas jualan bermutu, kami mula mendapat tempat pengguna tempatan dengan purata jualan  bulanan di setiap cawangan lebih RM50,000 sebulan,” katanya.

Sebagai langkah untuk terus mengukuhkan lagi penguasaan pasaran barangan elektrik, beliau memaklumkan, IEE juga berhasrat untuk membuka beberapa cawangan baharu Hub Brite di negeri berkenaan termasuk di Taman  Meru di sini, Seri Iskandar dan Kuala Kangsar selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini.

2 comments:

  1. baru nk buka..tpi msh blm phmm lgii..drop some comment

    ReplyDelete
    Replies
    1. cuba berhubung dgn Pengarah Urusannya, Mohd. Zabidi Razalli..

      Delete