Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Seorang mekanik dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh seorang peniaga kedai runcit di Rungkup, Teluk Intan kira-kira dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memerintahkan S. Murugan , 34, dibebaskan daripada tuduhan membunuh Ong She Swoi, 65, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farid Mohd. Mokhtar tidak cukup kukuh untuk mengesahkan kematian mangsa disebabkan perbuatan tertuduh.
Zainal Adzam berkata, satu-satunya saksi pendakwaan iaitu isteri mangsa tidak melihat secara jelas Murugan dan seorang lagi tertuduh (J. Ravichandran) yang sudah meninggal dunia menikam suaminya.
"Malah prosedur kawad cam juga meragukan sedangkan ia penting dalam kes seperti ini iaitu saksi tidak mengenali suspek sebelum kejadian juga menyebabkan kes pendakwaan rapuh," katanya dalam penghakiman bertulis di sini semalam.
Berdasarkan fakta kes, Murugan dan Ravichandran didakwa menyamun kedai runcit milik She Swoi di Sungai Tiang, Rungkup antara pukul 8 pagi hingga 11 pagi, 23 Disember 2009.
Mangsa bergelut dengan kedua-dua tertuduh sebelum isteri She Swoi yang berada di luar kedai runcit terdengar jeritan suaminya.
Tidak lama kemudian, Murugan dan Ravichandran keluar dari kedai runcit itu sambil seorang daripada mereka memegang sebuah laci berisi wang jualan runcit sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.
She Swoi yang cedera parah ditikam di perut meninggal dunia tidak lama selepas kejadian.
Kedua-dua tertuduh diberkas beberapa hari kemudian dan dihadapkan ke mahkamah sebelum Ravichandran meninggal dunia kerana sakit jantung pada 12 Disember lalu ketika pembicaraan masih berlangsung.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment