Translate

Thursday, September 1, 2011

Bangunan bekas Kisdar cemar pandangan

IPOH - Sekali imbas sesiapa pun tidak menjangka sebuah bangunan usang dan tidak terjaga berhampiran Pusat Perniagaan Greentown di sini merupakan bekas lokasi institusi pengajian tinggi (IPT).

Bangunan tersebut pernah dijadikan kampus Pusat Matrikulasi Sains Perak dan Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) sebelum kedua-dua pusat pengajian tersebut dipindahkan ke lokasi baru.

Sejak itu, ia terbiar begitu sahaja dan keadaan bertambah buruk sejak empat tahun lalu sehingga ia mencatatkan pemandangan Pusat Perniagaan Greentown yang sedang pesat membangun.

Tanpa pemantauan, premis itu menjadi lokasi kesukaan pemungut barangan lusuh untuk menceroboh bagi mendapatkan peralatan berharga seperti besi untuk dijual.

Tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati kebanyakan besi tingkap, batang paip dan sinki di bangunan yang turut menempatkan sebuah blok bangunan dua tingkat, surau dan sebuah pentas berkenaan telah hilang dipercayai dicuri.

Keadaan bangunan tersebut juga begitu usang dengan majoriti bumbung telah bocor, dinding pintu terkopak dan tingkap telah pecah.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Desmond Ong berkata, bangunan usang dan terbiar itu telah menjejaskan imej Greentown yang merupakan pusat perniagaan terkenal.

“Pusat Perniagaan Greentown sering menjadi tumpuan ramai termasuk golongan profesional untuk pelbagai urusan seperti pembankan, membeli-belah dan perkhidmatan.

“Saya difahamkan bangunan itu kadang-kala menjadi tempat kutu rayau dan penagih dadah berteduh,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan bangunan tersebut diruntuhkan sahaja jika tiada cadangan untuk menggunakannya pada masa depan demi kepentingan bersama.

No comments:

Post a Comment