Translate

Tuesday, September 27, 2011

Remaja parah ditetak tiga samseng

IPOH - Kerisauan seorang lelaki terhadap sekumpulan samseng yang sering mengganggu hidupnya sejak dua tahun lalu sampai di kemuncak apabila dia cedera parah selepas ditetak dua lelaki di Kawasan Perindustrian Pinggir Bercham di sini semalam.

Difahamkan, K. Sasikumar, 19, diserang hingga tiga jari kanannya hampir putus ekoran tindakannya yang enggan menyertai kumpulan kongsi gelap dianggotai suspek-suspek berkenaan. Kepala mangsa turut ditetak.

Kejadian pukul 12 tengah malam itu berlaku ketika pekerja kerja barangan lusuh tersebut didatangi tiga individu menaiki sebuah kereta Perodua Viva ketika dia berada di luar. Premis itu dimiliki bapa saudaranya, C. Ramachandran, 43.

Katanya, seorang wanita kemudian menjerit mengarahkan dua lelaki terbabit menetaknya menyebabkan dia cuba berlari mask semula ke dalam premis tetapi gagal.

 "Bapa saudara saya dan isterinya, M. Mariyamma, 49,cuba membantu tetapi mereka ditumbuk dan dipukul penjenayah itu.

"Suspek kemudiannya mengheret saya ke tingkat dua sebelum menetak saya berkali-kali. Mereka kemudian mengheret saya semula ke tingkat bawah lalu dipaksa masuk ke dalam kereta," ceritanya.

Bagaimanapun tambahnya, penjenayah itu kemudian melarikan diri selepas bapa saudaranya menjerit meminta tolong. Suspek turut melarikan wang hampir RM3,000.

Menurut Sasikumar, dia percaya serangan itu ada kaitan dengan keenggannya menyertai sebuah kumpulan samseng biarpun dipujuk sejak dua tahun lalu.

"Mungkin sudah letih hendak pujuk, mereka mula membuat kacau di tempat kerja selain membaling batu di rumah saya di Taman Perpaduan Ria sebelum menyerang saya pula," ceritanya yang memberitahu kesemua jarinya berjaya disambung semula selepas dibedah.

Ujar Sasikumar, dia telah membuat tujuh laporan dan yang terbaru pada 17 September lalu mengenai gangguan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut bermotifkan samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Polis juga akan menyiasat dakwaan mangsa yang dipaksa masuk kumpulan kongsi gelap.

No comments:

Post a Comment