IPOH - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak (PDNKK) Perak mengesan kewujudan sindiket skim cepat kaya yang memanipulasi penggunaan wang pos baru-baru ini.
Pengarahnya, Mokhtar Sulaiman berkata, skim berkonsep sistem piramid dipercayai didalangi seorang lelaki berusia 40-an itu dikesan baru bertapak di bandar raya ini sejak awal tahun ini.
Antara mangsa skim tersebut termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Perak yang menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sepatutnya membiayai pengajian masing-masing.
“Peserta skim ini diarah untuk membeli 10 keping wang pos, sekeping akan disumbang kepada penganjur skim berkenaan dan selebihnya kepada sembilan penaja terdahulu.
“Selepas itu peserta baru tersebut perlu mencari ahli baru bagi membolehkan dia mendapat keuntungan melalui sumbangan wang pos,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar ‘Cabaran Pengguna di Pasaran 2010’ anjuran Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) di Dewan Bandaran di sini semalam.
Turut hadir Presiden PPPM, Datuk Firdaus Abdullah dan Pengerusi PPPM Perak, Norhisham Jamaludin.
Mokhtar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati penganjur skim cepat kaya tersebut menawarkan tiga skim iaitu Klasik, Emas dan Premium yang mengenakan caj penyertaan minimum RM30.
Beliau berkata, skim yang menyalahi Akta Jualan Langsung 1993 itu turut menjanjikan keuntungan berlipat-ganda kini giat menarik penyertaan orang ramai.
“Sehubungan itu PDNKK Perak telah mengarahkan penganjurnya agar menghentikan skim tersebut secepat mungkin,” katanya.
No comments:
Post a Comment