Translate

Wednesday, March 17, 2010

Silverfly, syarikat pengurusan penerbangan kedua di LTSAS

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Silverfly Sdn. Bhd. ( Silverfly ), sebuah syarikat pengurusan penerbangan tempatan kini muncul sebagai syarikat kedua yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Sebelum ini, Firefly telah beroperasi di lapangan terbang itu sejak bulan Julai tahun lalu dengan jadual penerbangan sulungnya sebanyak tiga kali seminggu iaitu dari Ipoh ke Singapura tetapi kini jadualnya bertambah kepada setiap hari ke republik berkenaan.

Menurut Pengerusi Eksekutif Silverfly , Hasim Othman, syarikat yang menyewa pesawat Berjaya Air Sdn. Bhd. itu telah mula beroperasi sejak bulan September tahun lalu dengan menawarkan empat penerbangan dua hala iaitu Ipoh-Subang, Ipoh Singapura, Ipoh- Medan, Indonesia dan terkini Ipoh-Kota Bharu.

"Kami bercadang untuk menambah penerbangan ke destinasi lain seperti ke Johor Bahru, Langkawi dan Phuket, Thailand dalam masa terdekat ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman web dan kad kesetiaan Silverfly yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pengawai Eksekutif Silverfly , Ruby Hasim.

Tambah Ruby, melalui pelancaran laman web tersebut, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian bagi memudahkan lagi pelanggan membeli tiket penerbangan ke destinasi yang dipilih.

Selain itu, Zambry berkata, kerajaan negeri Perak berhasrat untuk menjadikan LTSAS sebagai lapangan terbang feeder untuk penerbangan serantau.

Menurut beliau, secara dasarnya, Kementerian Pengangkutan telah memberi lampu hijau kepada cadangan tersebut.

No comments:

Post a Comment